JKN Johor keluar 70 notis, kompaun RM25,600

Sebahagian petugas daripada JKN Johor pada operasi bersepadu berkenaan.
Sebahagian petugas daripada JKN Johor pada operasi bersepadu berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor mengeluarkan 70 notis terhadap pelbagai kesalahan yang boleh dikompaun bernilai RM25,600 hasil pemeriksaan serentak terhadap 109 premis di seluruh negeri pada Khamis.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Aman Rabu, kesemua notis berkenaan dikeluarkan terhadap kesalahan merokok di premis makanan selain menjual atau menawarkan rokok di bawah harga minimum.

Malah katanya, notis berkenaan juga turut melibatkan kesalahan menjual atau menawarkan hasil tembakau dengan harga yang tidak mendapat kelulusan.

“Pada hari ini (Khamis), pihak JKN terlibat dengan Operasi Bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Operasi yang dijalankan serentak di seluruh Johor itu menyaksikan sebanyak 109 premis diperiksa dan sebanyak 70 notis kesalahan telah dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan yang boleh dikompaun bernilai RM 25,600.00.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 21 notis dikeluarkan terhadap kesalahan merokok di premis makanan, kesalahan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa rokok dibawah harga minimum dan kesalahan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa hasil tembakau dengan harga jualan runcit yang tidak diluluskan,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.

Pada operasi berkenaan, sebanyak 2,134 peket rokok pelbagai jenama yang bernilai RM14,573 telah dirampas atas perlanggaran pelbagai kesalahan di bawah PPKHT 2004.

Untuk rekod, sepanjang 2022, sebanyak 9,135 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan kompaun berjumlah RM2,283,750.

Sementara itu Aman berkata, tindakan mahkamah boleh diambil terhadap orang kena notis yang tidak memilih untuk membayar kompaun yang dikenakan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan terus menjalankan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 ini dipatuhi.

“Orang ramai terutamanya yang bukan perokok juga diminta untuk turut mengambil tanggungjawab bersama dengan menegur perokok bagi melindungi hak masing-masing serta tidak menjadi perokok pasif,” katanya.