Belanjawan 2023: Banyak berita gembira untuk B40, miskin tegar, PKS

Salahuddin Ayub ketika ditemui pemberita.
Salahuddin Ayub ketika ditemui pemberita.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi bayangan Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan akan menggembirakan golongan B40, miskin tegar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut beliau, kerajaan akan memperuntukkan dana yang mencukupi untuk mendepani kos sara hidup yang tinggi.

“Sebagai KPDN, kita telahpun meminta bajet-bajet yang kita rasa perlu apatah lagi dalam mendepani kos sara hidup, golongan B40 dan miskin tegar.

“Saya percaya bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari pertama dia beri ucapan lepas angkat sumpah memang menekankan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) di sini pada Khamis.

Tambah beliau, golongan PKS juga tidak akan diketepikan memandangkan ia merupakan salah satu sektor penyumbang besar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Itu (PKS) tidak terlepas kerana PKS salah satu sektor perniagaan yang sumbang besar kepada kenaikan KDNK,” ujarnya.