Lebih 2,000 pekerja bakal terjejas jika lesen Lynas dibatalkan

Mimi Afzan bersama pekerja Lynas yang hadir pada himpunan aman Lynas di padang awam Balok di sini pada Khamis
Mimi Afzan bersama pekerja Lynas yang hadir pada himpunan aman Lynas di padang awam Balok di sini pada Khamis
A
A
A

KUANTAN- Lebih 2,000 pekerja yang bekerja di kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng di sini bakal terjejas sekiranya lesen operasi kilang itu dibatalkan.

Selain 830 pekerja tetap, turut terjejas para kontraktor, sub kontraktor, pekerja kontrak, kilang pembekal dan industri kecil dan sederhana (SME) yang selama ini bergantung kepada kilang terbabit.

Naib Presiden Modal Insan dan Komuniti Lynas, Mimi Afzan Afza berkata, pekerja Lynas termasuk tenaga pakar terdiri daripada anak tempatan.

Menurutnya, rata-rata mereka membina kerjaya di Lynas bermula dari bawah namun kini telah mempunyai kepakaran tahap tinggi dalam industri serta teknologi nadir bumi.

"Sekiranya larangan pengeluaran sisa radioaktif Lynas selepas Julai ini diteruskan, nasib mereka akan terumbang-ambing.

"Langkah itu bukan sahaja menjejaskan pekerja bahagian 'cracking and leaching' (C&L) tetapi akan melibatkan semua bahagian kerana masing-masing saling berkait," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Himpunan Aman Lynas dan Komuniti bagi membantah keputusan tersebut di padang awam Balok pada Khamis.

Turut hadir Pengurus Besar Keselamatan Sinaran dan Pematuhan Lynas, Dr Ismail Bahari, Pengurus Kanan Operasi, Khairul Suhaimi Mohd Jamin dan wakil komuniti.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd boleh dibatalkan jika gagal mematuhi syarat yang melarang pengeluaran sisa radioaktif selepas Julai ini.

Ia susulan keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen berkaitan pengurusan residu Water Leach Purification (WLP) selepas Julai 2023, aktiviti cracking and leaching (C&L) di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia.

Mimi Afzan berkata, pihaknya kini dalam proses membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

"Kami merayu kerajaan bersikap adil kerana operasi Lynas selama ini terbukti selamat dan telah membantu meningkatkan ekonomi serta pembangunan kawasan ini.

Dr Ismail Bahari antara yang hadir dan berucap pada himpunan aman Lynas di padang awam Balok di sini pada Khamis
Dr Ismail Bahari antara yang hadir dan berucap pada himpunan aman Lynas di padang awam Balok di sini pada Khamis

"Berilah peluang kepada kami bersama kerajaan negeri dan Persekutuan untuk membangunkan industri nadir bumi dengan kepakaran anak tempatan," ujarnya.

Wakil pekerja, Mohd Badrul Hisham Zulkifli, 40, berkata, selama 15 tahun bekerja di kilang itu, dia tidak pernah menghadapi masalah kesihatan kesan radiasi seperti mana yang didakwa pihak tertentu.

"Sebaliknya saya dapat membina kerjaya ke tahap lebih baik dan berkepakaran tinggi dalam industri ini.

"Saya sendiri telah dihantar ke Australia untuk melatih pekerja kilang nadir bumi di negara itu yang kembali beroperasi," katanya.

Menurutnya, keputusan Australia membenarkan operasi kilang nadir bumi di negara itu membuktikan ia selamat, malah produk dihasilkan penting untuk menghasilkan peralatan kegunaan seharian.

"Keputusan perlu dibuat dengan adil berdasarkan fakta.

"Sekiranya kilang ini ditutup, ia bukan sahaja 'membunuh' peluang pekerjaan malah tenaga pakar yang ada juga turut dipersiakan," katanya.

Sementara itu, wakil penduduk, Norhaslinda Harun, 40, berkata, operasi kilang Lynas banyak memberi manfaat kepada penduduk sekitar terutama peluang ekonomi, pekerjaan dan pembangunan setempat.

Ketua Komuniti Kampung Chengal Lempong itu berkata, penduduk tidak menghadapi sebarang masalah termasuk kesihatan berpunca daripada operasi kilang itu.

Antara wakil penduduk yang turut hadir pada himpunan aman Lynas di padang awam Balok di sini pada Khamis
Antara wakil penduduk yang turut hadir pada himpunan aman Lynas di padang awam Balok di sini pada Khamis

"Bila adanya kilang Lynas dan kilang besar lain, kawasan Gebeng dan Balok berkembang pesat dan menjadi sebuah bandar ketika ini.

"Balok yang mempunyai banyak kampung dahulunya kawasan nelayan namun kini menjadi bandar dikelilingi kawasan perumahan baharu," ujarnya.

Tambahnya, Lynas juga banyak membantu penduduk melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan, bantuan dan lain-lain selama ini.

"Sebagai penduduk, kami merayu kerajaan mempertimbangkan keputusan itu supaya Lynas terus beroperasi demi faedah pekerja dan penduduk," katanya.

Perhimpunan secara aman bermula jam 2.30 petang itu disertai 2,000 pekerja termasuk penduduk setempat.