MPS roboh 110 rumah penempatan haram PATI

Abd Hamid turut meninjau rumah-rumah yang dibina oleh PATI di sebuah penempatan haram di Cyberjaya.
Abd Hamid turut meninjau rumah-rumah yang dibina oleh PATI di sebuah penempatan haram di Cyberjaya.
A
A
A

SEPANG - Majlis Perbandaran Sepang (MPS) bertindak merobohkan 110 buah rumah yang dijadikan pelindungan warga asing susulan serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke atas sebuah penempatan haram dekat sini.

Yang Di Pertua MPS, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, dalam melaksanakan operasi membersihkan kawasan penempatan haram tersebut, seramai 80 petugas dan kakitangan MPS terlibat.

Menurutnya, operasi tersebut turut dibantu 10 kakitangan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, lima anggota JIM serta kawalan keselamatan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, tiga buah jentolak digunakan bagi merobohkan rumah-rumah, kedai runcit serta surau yang ada di penempatan tersebut.

"Kita mulakan operasi meroboh semua rumah rumah dan kemudahan yang ada di penempatan haram pada hari ini.

"Saya yakin proses pembersihan ini dapat disempurnakan sepenuhnya dalam tempoh seminggu kerana banyak kayu, zink serta peralatan rumah yang perlu dibersihkan.

"Kesemua sisa-sisa pembersihan ini perlu dilupuskan, sama ada memberikannya kepada pihak-pihak memerlukan atau ditanam di sekitar kawasan ini," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika meninjau proses merobohkan 110 buah rumah di empat lokasi berbeza yang berada di dalam kawasan penempatan haram berhampiran Royale Palace dan Tasik Cyberjaya dekat sini.

Abd Hamid menunjukkan kawasan penempatan haram PATI dibersihkan oleh pihak MPS di Cyberjaya pada Khamis.
Abd Hamid menunjukkan kawasan penempatan haram PATI dibersihkan oleh pihak MPS di Cyberjaya pada Khamis.

Sementara itu, Abd Hamid berkata, MPS bukan tidak mahu bertindak terhadap kes penempatan haram yang terdapat di kawasan tersebut, namun struktur lokasi yang terlindung dan tiada maklumat membolehkan penempatan haram itu dibangunkan di tanah seluas 1.6 hektar dekat sini.

Beliau berkata, tanah tersebut adalah milik kerajaan yang belum diwartakan dan pihak pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada Indonesia telah membuat penempatan dipercayai sejak lebih tujuh tahun lalu.

Beliau berkata, MPS tidak dapat mengesan kawasan tersebut ekoran kedudukannya yang jauh ke dalam di kawasan hutan serta terlindung dengan bukit bukau dan pihaknya kini dalam proses terakhir untuk mewartakan kawasan tanah lapang tersebut bagi dibangunkan sebagai lokasi kunjungan orang ramai.

Dalam pada itu, Abd Hamid berkata, sebelum MPS telah memusnahkan sebuah penempatan haram yang terdapat di sekitar pinggiran Tasik Cyberjaya pada tahun lalu.

Ditanya kenapa lokasi di sekitar kawasan pinggir Tasik Cyberjaya itu menjadi tumpuan PATI, beliau berkata, terdapat kemungkinan pekerja-pekerja membina lebuh raya yang berhampiran meneroka tanah di kawasan tersebut.

"Mungkin pekerja-pekerja membina lebuh raya yang tidak mempunyai tempat berteduh sebelum ini telah meneroka kawasan di sekitar Tasik Cyberjaya ini.

Sebuah jentolak merobohkan rumah-rumah PATI di sebuah kawasan penempatan haram di Cyberjaya pada Khamis.
Sebuah jentolak merobohkan rumah-rumah PATI di sebuah kawasan penempatan haram di Cyberjaya pada Khamis.

"Namun pembinaan lebuh raya tersebut terbengkalai dan mereka terus menetap di kawasan yang telah diterokai ini," katanya.

Selain terdapat surau dan kedai runcit yang beroperasi di situ, Abd Hamid berkata, pihaknya turut menemukan lebih 10 buah perigi yang dipercayai dibina oleh kumpulan PATI tersebut sebagai sumber air dan tempat membersih diri.