Kerajaan jimat RM11 bilion jajaran semula ECRL

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan berjaya menjimatkan kos sebanyak RM11 bilion melalui usaha perundingan yang berkesan bagi penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, rundingan telah dibuat sebanyak dua kali bersama pihak kontraktor utama iaitu syarikat CCCC bagi mendapatkan nilai yang lebih baik pada harga yang kompetitif.

“Antara semakan semula yang dilakukan termasuk menjajarkan semula Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) agar menjauhi pantai bagi meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi ECRL kelak.

“Penjajaran semula Seksyen C (Temerloh-Pelabuhan Klang) pula bagi meningkatkan kecekapan operasi kargo,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Jelas Anthony, pada masa ini jajaran ECRL telah dimuktamadkan dari Tunjong, Kota Bharu, Kelantan dan berakhir di Pelabuhan Klang, Selangor.

Ia melibatkan laluan sepanjang 665 kilometer dengan 20 stesen yang akan dibina pada harga RM50.27 bilion.

Sementara itu katanya, cadangan jajaran semula ECRL sebagaimana perancangan projek sebelum ini boleh dibangunkan sebagai fasa seterusnya pada masa hadapan, namun ia tertakluk kepada keputusan Kerajaan Persekutuan.