Projek ECRL capai kemajuan 40 peratus

Rui (tiga dari kiri) bersama sebahagian daripada mereka yang hadir pada sambutan ulang tahun ke-10 Belt and Road Initiative (BRI) di Padang Halban, Peringat, Kota Bharu.
Rui (tiga dari kiri) bersama sebahagian daripada mereka yang hadir pada sambutan ulang tahun ke-10 Belt and Road Initiative (BRI) di Padang Halban, Peringat, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerja-kerja pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negara ini sudah mencapai kemajuan sebanyak 40 peratus.

Menteri Kedutaan China ke Malaysia, Tang Rui menyifatkan perkembangan pembinaan projek mega itu sangat menggalakkan.

"Sektor A dan B dijangka siap pada tahun 2026 manakala C pula 2027," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu, beliau merasmikan sambutan ulang tahun ke-10 Belt and Road Initiative (BRI) di Padang Halban, Peringat di sini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pentadbiran Awam, Pembangunan Wilayah, Kesejahteraan Masyarakat dan Integriti, Mohd Huzaimy Che Husin dan Pengerusi Kelab Laluan Sutera Malaysia, Samuel Lee.

Menurut beliau, berpandukan kepada situasi itu projek tersebut dijangka siap mengikut jadual yang ditetapkan.

Rui berkata, beliau sangat gembira dengan perkembangan kerja-kerja pembinaan laluan yang melibatkan jarak sejauh 665 kilometer.

Katanya, apabila siap nanti ia akan memendekkan masa perjalanan Kelantan ke Kuala Lumpur kepada empat jam berbanding enam hingga tujuh jam jika memandu.

Jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dibina dengan reka bentuk bebas daripada bencana banjir.