Pemilik kenderaan warga tempatan berdepan tindakan tegas

Mohd Misuari (dua dari kanan) beramah mesra bersama peserta SPIM pada Rabu.
Mohd Misuari (dua dari kanan) beramah mesra bersama peserta SPIM pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - "Jika jumpa, terus sita," tegas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah mengenai keberanian pemilik kenderaan tempatan yang membenarkan kenderaan mereka dipandu pekerja warga asing terutama etnik Rohingya.

Menurut beliau, JPJ juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjual kenderaan mereka kepada kepada golongan itu berikutan semakin ramai warga asing tanpa dokumen sah memandu kenderaan.

"Kita akan terus menghubungi pemilik kenderaan bukan sahaja untuk dikompaun malah bakal berdepan tindakan mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Taklimat Kursus Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Misuari berkata, penggunaan kenderaan tempatan oleh etnik Rohingya dilihat serius berikutan sikap mereka yang lebih berani berbanding warga asing lain yang hanya menggunakan basikal untuk berulang-alik bekerja.

"Kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) bukan lesen besar untuk mereka memandu," katanya.

Mohd Misuari berkata, JPJ sudah mengenal pasti kawasan yang menjadi tumpuan golongan berkenaan dan akan mengatur gerak penguat kuasa untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang mendidik warga tempatan supaya tidak bersikap pemurah dengan memberi pinjam dan menjual kenderaan kepada etnik Rohingya dan warga asing yang tiada dokumen sah.

"Setiap warga asing yang memandu kenderaan tidak boleh memberi alasan kerana kami tetap percaya pada dokumen sah," katanya.