Menyamar guna profil TMJ untuk dapatkan bayaran

Gambar hiasan (Gambar kecil: M Kumar)
Gambar hiasan (Gambar kecil: M Kumar)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis telah melakukan siasatan berhubung tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instagram untuk meminta sejumlah bayaran.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, kejadian tersebut disedari pihak Media Istana Johor yang mengesan tangkap layar melalui 'direct message' menggunakan akaun HRH Crown Prince Of Johor.

Jelasnya, pihak Media Istana Johor bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 2.35 petang Selasa.

"Tangkap layar tersebut memaparkan mesej suspek mengaku sebagai Tunku Ismail.

"Mesej berkenaan dihantar kepada beberapa pihak untuk meminta sejumlah bayaran bagi urusan perniagaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, hasil siasatan awal dijalankan mendapati, suspek menyamar sebagai TMJ dengan mengubahsuai tangkap layar yang digunakan untuk berkomunikasi dengan mangsa.

"Suspek menggunakan gambar profil serta akaun Instagram TMJ supaya mangsa percaya mereka sedang berkomunikasi dengan Tunku Ismail.

"Setakat ini, mesej berkenaan telah diedarkan kepada lapan syarikat dan ada yang telah terpedaya serta memasukkan sejumlah wang ke akaun seperti diarahkan suspek kononnya untuk medapatkan projek ditawarkan," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Mana-mana pihak yang menjadi mangsa diminta membuat laporan polis agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dan hendaklah membuat semakan terlebih dahulu mengenai maklumat di media sosial sebelum menjalankan sebarang urusan," ujarnya.