Malaysia-Indonesia perkukuh sektor pengangkutan udara, laut

Anthony (kiri) dan Budi pada sidang akhbar di lobi Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Selasa.
Anthony (kiri) dan Budi pada sidang akhbar di lobi Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Indonesia akan memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam sektor pengangkutan khususnya yang melibatkan pengangkutan udara dan laut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagi memperkasa sektor pengangkutan udara kedua-dua negara, Malaysia akan menambah jumlah dan mengembalikan penerbangan ke destinasi pilihan di Indonesia.

"Syarikat-syarikat penerbangan dari Malaysia akan diminta menambah kekerapan penerbangan di destinasi-destinasi di Indonesia khususnya di Jakarta yang kita tahu permintaannya melebihi kapasiti.

"Selepas pandemik Covid-19, ada juga penerbangan ke beberapa destinasi dihapuskan khususnya di Banda Acheh. Penerbangan ke Banda Acheh sebelum ini ditawarkan AirAsia.

"Jadi kita akan minta syarikat penerbangan itu mengembalikan semula perkhidmatan penerbangan antara Malaysia ke Banda Acheh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Menteri Pengangkutan Republik Indonesia, Budi Karya Sumadi di lobi Dewan Rakyat, di sini pada Selasa selepas menerima lawatan rasmi rakan sejawatnya itu.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, menerusi lawatan itu, turut dibincangkan kemungkinan untuk menghidupkan perkhidmatan feri pengangkut 'Roll On Roll Off' (RORO) antara Tanjung Bruas, Melaka dan Dumai, Sumatera, Indonesia.

"Kita mengharapkan menjelang 2024, ada perkhidmatan RORO yang mana ia boleh membawa kenderaan dari Dumai ke Tanjung Bruas," ujarnya.

Sementara itu, Budi memberitahu, pengukuhan hubungan antara kedua-dua negara dalam sektor pengangkutan akan turut memberi nilai tambah kepada sektor ekonomi termasuk merancakkan lagi sektor pelancongan.

Katanya, ia seiring dengan permintaan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) untuk meningkatkan hubungan ekonomi antara negara itu dan Malaysia.