Kerajaan muktamad 10 MoA tambah baik ekosistem TVET negara

Mustapha Sakmud.
Mustapha Sakmud.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah memuktamadkan 10 Memorandum Perjanjian (MoA) bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dalam usaha menyelaras dan menambah baik ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, penglibatan GLC dan syarikat swasta yang akan meliputi bidang-bidang latihan TVET tertentu melibatkan kementerian berkaitan itu adalah antara langkah diambil kerajaan bagi mengelakkan pertindihan dan pembaziran dalam pelaksanaan program TVET yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis TVET Negara pada 7 Februari lepas.

"Penambahbaikan pelaksanaan program TVET mendapat perhatian serius kerajaan iaitu Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Februari 2023 telah membangkitkan keperluan penglibatan dan kerjasama pihak industri serta GLC dalam pelaksanaan program TVET.

"Ini bagi mengatasi isu-isu seperti penyediaan infrastruktur dan kemudahan latihan, ketidakpadanan kemahiran dan isu pengangguran dalam kalangan graduan TVET. Penglibatan dan kerjasama ini melibatkan institusi TVET di pelbagai kementerian penyedia TVET dan diselaraskan menerusi Majlis TVET Negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang ingin tahu bilakah penyelarasan latihan TVET antara Kementerian Pendidikan dengan kementerian lain akan dilakukan berikutan berlaku banyak pertindihan kursus dan membawa kepada pembaziran sumber manusia serta kewangan.

Mustapha berkata, menerusi inisiatif itu, GLC dan syarikat swasta yang dikenal pasti akan terlibat dalam pelaksanaan program TVET merangkumi skop pembangunan kurikulum dan bahan latihan, sumbangan dan perkongsian peralatan serta kemudahan, khidmat kepakaran dan pembiayaan program latihan.

Menjawab soalan tambahan Onn mengenai usaha kementerian dalam menyerapkan inti pati Gagasan Malaysia Madani dalam program TVET, beliau berkata, silibus dan modul pembelajaran di institusi TVET yang sentiasa dikemas kini menjadi usaha kerajaan untuk melahirkan 35 peratus tenaga kerja mahir melalui program TVET menjelang 2030.

Katanya fokus program TVET juga melalui sinergi rentas kementerian dalam Majlis TVET Negara dengan penerapan nilai dan akhlak terpuji sebagai antara tumpuan yang sama penting selain kompetensi kemahiran teknikal graduan.

"Selain itu, enam rukun Malaysia Madani dijadikan prinsip panduan dalam pentadbiran industri TVET contohnya memastikan kemampanan program TVET, industri perlu berperanan secara aktif dalam menyediakan keperluan mesin dan kepakaran kepada pelatih TVET.

"Usaha berterusan ini dilihat dapat melahirkan bukan sahaja teknokrat malah teknokrat madani yang dapat mengangkat martabat negara selain meningkatkan lagi pendapatan negara,” katanya. - Bernama