Wajarkah sebat di khalayak umum?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PADA Selasa, kerajaan negeri Terengganu mengumumkan kesediaan untuk mempertimbangkan cadangan pelaksanaan hukuman sebat bagi kesalahan syariah di khalayak ramai.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, hukuman tersebut sebagai usaha memperkasa pelaksanaan undang-undang syariah Islam di negeri itu.

Di peringkat Persekutuan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi kaedah sebatan.

Ketika ini ia tertakluk kepada enakmen sedia ada dan sebarang penambahbaikan akan dibuat secara berterusan dalam usaha memperkasa pelaksanaan undang-undang syariah Islam di negeri tersebut.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar berkata, sebarang cadangan untuk melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai perlu mempertimbangkan keperluan menjaga maruah pesalah.

Walaupun peruntukan dalam akta, enakmen dan ordinan jenayah syariah di peringkat negeri di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun kerajaan Pusat berpendirian bahawa cadangan tersebut perlu diteliti dan dilihat secara menyeluruh.

Ada yang setuju hukuman sebat di khalayak mampu memberi impak positif kepada masyarakat agar tidak melakukan perkara dilarang Islam malah ada yang tidak bersetuju.

SOKONG

Artikel Berkaitan:

- Beri amaran jauhi perkara dilarang

Hukuman sebat di khalayak umum boleh dilakukan dengan adanya prosedur yang adil dan professional.

Langkah itu dilihat bukan untuk menghukum atau mencederakan seseorang tapi boleh memberi pengajaran dan amaran kepada umat Islam agar menjauhi diri daripada perkara yang dilarang.

Orang-orang yang melihat hukuman itu dijatuhkan ke atas pesalah jenayah, pasti mereka tidak akan berani mengulangi melakukan perbuatan maksiat dan jenayah tersebut.

Razin
Razin

Lagipun apa yang saya baca dalam laman web Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), kaedah sebatan syariah jauh berbeza dengan sebatan bagi hukuman sivil.

Syarat sebatan syariah pula tidak boleh mencederakan pesalah. Prosedur hukuman sebatan (di Mahkamah Syariah) pun dilihat jauh lebih lembut dan ringan berbanding sebatan mahkamah sivil.

Saya rasa pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai tersebut sangat bagus bagi memberi pengajaran kepada rakyat dan dari situ kita dapat tahulah apa perkara yang kita perlu buat dan apa yang tidak boleh dibuat.

Saya berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dalam perlaksanaan undang-undang Islam bagi membuahkan hasilnya dalam keamanan, keselamatan dan kejayaan yang akan dapat dirasai secara bersama. Insya-ALLAH.

- Pekerja swasta, Razin Aiman, 26 tahun

- Beri pendidikan, pengajaran kerana rasa gerun

Hukuman sebatan di khalayak awam boleh mendidik masyarakat.

Orang ramai yang hadir melihat hukuman dijalankan merasa gerun untuk melakukan maksiat yang sama dan secara langsung boleh memberi pengajaran kepada mereka.

Contohnya, dengan mengetahui bahawa hukuman bagi seorang yang berzina itu akan dibalas dengan sebatan, pastinya membuatkan individu yang berakal bagi berfikir panjang untuk melakukan zina.

Hakim
Hakim

Apabila melihat kesakitan yang dialami oleh pesalah jenayah sepanjang proses hukuman, maka secara automatik memberi kesan kepada umat Islam untuk mengambil iktibar dan pengajaran.

Buat kanak-kanak pula, hukuman khalayak ramai boleh mendidik golongan itu agar menjauhi perkara negatif yang boleh merosakkan diri.

Mencegah adalah lebih baik sebelum terjebak dengan jenayah.Pelaksanaan hukuman seumpama itu dilihat lebih berkesan berbanding tindakan undang-undang sedia ada.

Pelaksanaan hukuman sebat perlu dibuat di tempat awam yang menjadi tumpuan orang ramai seperti di pasar-pasar awam kerana di sana ada semua golongan peringkat usia.

Jika undang-undang ini mula dilaksanakan, kita sepatutnya berharap agar tiada seorang pun yang dijatuhi hukuman ini.

- Penyelia Juruteknik, Hakim Mosleh, 40 tahun

BANGKANG

- Perlu kaji antara manfaat dan mudarat

Saya bukanlah tidak setuju tetapi berpendapat pelaksanaannya perlu dikaji dengan lebih lanjut. Mungkin boleh diperhalusi secara mendalam dengan mengambil pandangan pelbagai pihak terutamanya agamawan.

Selain itu, kerajaan negeri juga patut melihat antara manfaat dan mudarat, mana yang lebih besar kesannya kepada masyarakat.

Jika mudarat yang lebih besar seperti contoh mengundang hinaan kejian kepada syariat, maka ia sepatutnya tidak dilaksanakan.

Suhairul Nizam
Suhairul Nizam

Lagipun pelaksanaan sebat di khalayak ramai juga akan memerlukan pembabitan lebih banyak agensi selain pihak penjara.

Isu ini secara mandatori memerlukan penyelidikan yang mendalam dan perbincangan yang terbuka, rasional serta berhikmah oleh seluruh masyarakat.

Pandangan semua pihak yang berlandaskan fakta dan logik harus dipertimbangkan.

Namun jika benar kerajaan Terengganu mahu melaksanakan hukuman tersebut, maka adalah sewajarnya bagi pihak berkuasa negeri itu menjalankannya seperti yang ditetapkan oleh hukum ALLAH.

- Juruteknik, Suhairul Nizam Zainal, 40 tahun.

- Malu dan mengerikan, aib pelaku perlu diambil kira

Hukuman sebat yang telah dijatuhkan ke atas pesalah yang disabitkan kerana melakukan kesalahan jenayah bukan hanya memberikan rasa malu terhadap pesalah itu sendiri tetapi turut membawa malu kepada keluarga dan saudara mara.

Saya berpendapat hukuman dilakukan secara tertutup atau di kalangan ahli keluarga kerana ia boleh mengaibkan dan menimbulkan rasa tidak adil bagi pesalah.

Sebagai orang awam memang kita tidak mempunyai kuasa sekiranya undang-undang di sesuatu negeri tersebut sudah termaktub hukuman sedemikian, tapi aib pelaku itu harus diambil kira.

Jika dikenakan hukuman di depan orang ramai, memang memalukan tambah lagi jika pesalah itu perempuan, maruah juga tercemar.

Mohd Wazir
Mohd Wazir

Dalam pada itu, hukuman sebat turut memaparkan aksi ngeri kepada awam. Risau juga ia menjadi ikutan di kalangan kanak-kanak melakukan semula perbuatan itu di rumah mahupun di mana sahaja.

Sistem perundangan Islam sama sekali tidak membenarkan perincian pendakwaan dan pembuktian kesalahan didedahkan kepada awam atau pihak media sedangkan itu perkara biasa dalam perundangan sivil.

Hanya pelaksanaan hukuman saja dibuat secara terbuka atas dasar pencegahan.

Walaupun dibuat secara terbuka, perkara membabitkan maruah peribadi seperti aurat dan seumpamanya perlu dipelihara.

- Pengusaha bengkel, Mohd Wazir Shafiq Mohd Yusop, 39 tahun

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!