Ismail Sabri minta kerajaan pertimbang pengeluaran KWSP

Kerajaan diminta mempertimbangkan permohonan golongan yang memerlukan untuk mengeluarkan simpanan KWSP. - Gambar hiasan
Kerajaan diminta mempertimbangkan permohonan golongan yang memerlukan untuk mengeluarkan simpanan KWSP. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta kerajaan mempertimbangkan permohonan golongan yang memerlukan untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ahli Parlimen Bera itu berkata, kajian terperinci juga perlu dilaksanakan agar mereka yang layak sahaja dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan KWSP dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

"Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan empat pengeluaran KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas KWSP berjumlah RM145 bilion, melibatkan 8.1 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

"Saya berharap KWSP tidak terlalu mementingkan pelaburan untuk mendapatkan pulangan yang besar semata-mata, sedangkan pencarum pada hari ini hidup merana," katanya semasa membahaskan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa

Ismail Sabri menegaskan, beliau percaya pengeluaran itu hanya melibatkan jumlah kecil daripada keseluruhan aset di bawah pengurusan KWSP yang kini sudah mencecah hampir RM1 trilion (RM961.1 billion).

Menurutnya, gesaan kepada kerajaan itu mengambil kira keadaan sukar dihadapi rakyat ketika ini selepas pandemik Covid-19.

Kata beliau, seperti diketahui, kesan daripada pandemik Covid-19 masih dirasai terutamanya bagi golongan peniaga dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kerana tidak dapat menjalankan aktiviti lebih daripada setahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pelbagai inisiatif telah diberikan oleh kerajaan namun ramai antara mereka masih di peringkat permulaan untuk bangkit semula.

"Begitu juga dengan golongan pekerja. Biarpun telah banyak peluang pekerjaan baharu ditawarkan tetapi pendapatan yang diperoleh mereka tidak seperti dahulu.

"Mereka juga terpaksa membayar kembali pinjaman dengan kadar yang penuh selepas moratorium ditamatkan. Kehidupan mereka agak sukar," ujarnya.

Ismail Sabri menambah, malahan baru-baru ini, Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin Malaysia (PWRN) telah bertemu dengan beliau dan memaklumkan bahawa ramai rakyat yang masih terdesak untuk meneruskan kehidupan pada hari ini.

"Ada antaranya telah muflis kerana tidak mampu untuk membayar hutang. Kita semua sedar KWSP adalah simpanan hari tua tetapi bagaimana untuk meneruskan kehidupan hari ini jika tidak mampu untuk membayar hutang," soal beliau.