'Bukan ancam, hanya pamer kehebatan syiar Islam'

Antara replika yang dihasilkan kontinjen Pemuda Pas kawasan Marang sempena Himpit 2023 baru-baru ini. (Gambar dalam : Yusuf)
Antara replika yang dihasilkan kontinjen Pemuda Pas kawasan Marang sempena Himpit 2023 baru-baru ini. (Gambar dalam : Yusuf)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kontinjen Pemuda Pas kawasan Marang yang membawa bersama replika senjata ketika persembahan pertandingan perarakan sempena Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 Jumaat lalu mengakui tema tersebut dipilih bagi mempamerkan kepada generasi baharu kehebatan syiar Islam dibawa Rasulullah SAW dan para sahabat.

Ketua Pemuda Pas Marang, Yusuf Abdul Hadi berkata, pihaknya tidak berniat untuk menimbulkan kegusaran atau provokasi di tempat awam.

"Kami tiada niat untuk menimbulkan kegusaran mahupun provokasi, tujuan kami hanya mahu mempamerkan kepada generasi baharu tentang kehebatan Rasulullah SAW dan para sahabat yang telah membawa obor Islam sehingga sampai kepada kita hari ini," jelas beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya malam Isnin.

Dalam perkembangan sama, Yusuf memberitahu, beberapa peserta pertandingan perarakan itu juga telah selesai memberi keterangan kepada pihak polis berhubung perkara itu serta telah menyerahkan alatan yang digunakan ketika persembahan.

"Malam ini beberapa peserta Himpit 2023 telah selesai memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung isu replika pedang dan pakaian perang zaman Rasulullah SAW di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

"Dalam siasatan hari ini (Isnin) juga, kami dimaklumkan bahawa segala peralatan, kostum dan replika perlu diserahkan kepada pihak polis pada malam ini.

"Kami berasa sedih kerana replika dan kostum yang sepatutnya menjadi kebanggaan dan kemegahan kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang cintakan Islam, dipolemikkan menjadi satu ketakutan dan kegusaran. Lebih menyedihkan ia dipolemikkan oleh umat Islam sendiri, "ujar beliau.

Dalam pada itu, Yusuf merakam penghargaan atas layanan baik yang diberikan pihak polis sepanjang menjalankan siasatan.

"Terima kasih kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rakyat Malaysia yang menyokong. Kami akan terus memberikan kerjasama dengan sebaiknya sekiranya diperlukan," tulisnya.

Difahamkan kontinjen Pemuda Pas Marang telah memenangi tempat pertama dalam pertandingan kategori perarakan sempena Himpit 2023 yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 17 dan 18 Februari lalu.

Ahad lalu tular di media sosial gambar sekumpulan lelaki membawa replika berbentuk senjata sambil berarak dalam program yang dianjurkan di Setiu, Terengganu sehingga mencetuskan pelbagai polemik.

Selain replika senjata yang dipegang dengan memakai kostum ala zaman perang, terdapat juga replika sebilah pedang gergasi yang dibawa oleh kenderaan pacuan empat roda.

Difahamkan kesemua replika tersebut adalah antara alatan digunakan dalam pertandingan yang dianjurkan sempena Himpit 2023.