Bunuh pemilik kebun: Lima warga Myanmar direman seminggu

Suspek berusia antara 19 hingga 49 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson untuk permohonan reman pada Isnin.
Suspek berusia antara 19 hingga 49 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson untuk permohonan reman pada Isnin.
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menahan seorang lagi lelaki warga Myanmar sekali gus menjadikan lima yang ditahan sehingga kini bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang pemilik kebun buah naga di Tanah Merah di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 20 tahun yang tidak memiliki pasport itu ditahan di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur kira-kira jam 11.15 pagi pada Ahad.

"Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 49 tahun itu kini direman tujuh hari bermula hari ini (Isnin) bagi membantu siasatan selepas permohonan dibuat di hadapan Majistret V Vanita di Mahkamah Majistret Port Dickson," katanya kepada media pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dendam dipercayai menjadi punca mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 44 tahun dibunuh.

Mayat lelaki terbabit ditemukan dalam keadaan tertiarap serta kedua-dua tangan dan kaki diikat dengan tali.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis diketuai Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan dibantu Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis DaerahPort Dickson telah membuat tangkapan terhadap suspek iaitu empat lelaki warga Myanmar di Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Selain itu, polis turut menemui motosikal mangsa yang telah disorokkan di sebuah kebun kelapa sawit Site A, Tanah Merah, Port Dickson.