Vandalisme: JPN Kelantan lantik guru bertugas hari akhir SPM

Mohd Zin (kiri) meluangkan masa membuat tinjauan di SMKA Naim Lilbanat, Kota Bharu sempena hari pertama peperiksaan SPM 2022.
Mohd Zin (kiri) meluangkan masa membuat tinjauan di SMKA Naim Lilbanat, Kota Bharu sempena hari pertama peperiksaan SPM 2022.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan melantik guru bertugas bagi mempertingkatkan kawalan pada hari akhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 pada 15 Mac ini bagi mengelakkan berlaku vandalisme.

Timbalan Pengarahnya, Mohd Zin Halim berkata, pihaknya telah meminta pengetua untuk mengambil tindakan tersebut (melantik guru bertugas).

"Sepanjang dan pada hari akhir peperiksaan, pelajar akan dipastikan terus pulang serta tidak berada di sekolah.

"Ini kerana walaupun hanya melibatkan 10 pelajar ia tetap boleh mencetuskan vandalisme mahu pun gengsterisme," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu, beliau meluangkan masa membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini sempena hari pertama peperiksaan SPM 2022.

Beliau memberitahu, dengan cara tersebut ia dapat mengelak kejadian tidak diingini berlaku seperti merosakkan harta benda sekali gus akan mencemarkan nama baik sekolah.

Beberapa hari lalu, tular dua rakaman video di media sosial yang memaparkan tindakan sekumpulan pelajar merosakkan harta benda sekolah selepas tamat sesi persekolahan.

Dalam video berdurasi 28 saat dan 58 saat itu, kumpulan pelajar yang dipercayai bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan dilihat merosakkan peralatan sekolah peralatan sekolah seperti kerusi, kipas dan pintu tandas.