Lapan calon SPM di Pahang jalani peperiksaan di hospital

Mohammad Rosli memberikan kata-kata semangat kepada pelajar SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang menduduki peperiksaan bertulis SPM pada Isnin.
Mohammad Rosli memberikan kata-kata semangat kepada pelajar SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang menduduki peperiksaan bertulis SPM pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Seramai lapan pelajar daripada 20,850 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di negeri ini terpaksa menjalani peperiksaan itu di hospital.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, pelajar berkenaan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh dan Hospital Lipis akibat kemalangan jalan raya.

Menurutnya, semua calon lain menjalani peperiksaan itu di 263 pusat peperiksaan termasuk 197 sekolah (17,573 calon), 34 pusat persendirian (725 calon), 18 Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) (1,465 calon), enam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (773 calon), empat pusat swasta (224 calon) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) (90 calon).

"Daripada keseluruhan calon, 620 pelajar merupakan calon pelajar Orang Asli dan 116 calon berkeperluan khas.

"Seramai 1,924 petugas terlibat untuk SPM kali ini terdiri daripada penyelia kawasan (75), ketua pengawas (262) dan ketua pengawas di hospital (11).

Calon pelajar SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru di Bukit Beruang, di sini, pada Isnin.
Calon pelajar SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru di Bukit Beruang, di sini, pada Isnin.

"Turut membantu timbalan ketua pengawas (262), timbalan ketua pengawas di hospital (11), pengawas peperiksaan (1,244), pengawas di hospital (15) dan pengawas simpanan (44)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir meninjau proses peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad di Indera Mahkota di sini pada Isnin.

Sementara itu katanya, Ops Payung akan dilaksanakan sekiranya berlaku bencana banjir yang menjejaskan calon dan pusat peperiksaan di negeri ini.

12,907 calon SPM di Melaka

Sementara itu s​​eramai 12,907 calon SPM 2022 menduduki peperiksaan itu di 102 pusat peperiksaan yang disediakan di Melaka bermula Isnin.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md.Ali berkata, daripada jumlah itu dua calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital kerana mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, seramai 11,037 calon adalah dari sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

"Daripada jumlah itu juga 649 pelajar merupakan calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 23 calon sekolah agama negeri, 221 calon sekolah swasta yang berdaftar dan calon persendirian seramai 942 orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau suasana peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru di Bukit Beruang, di sini, pada Isnin.

Tambah beliau, seramai 1,235 orang petugas telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar sehingga 15 Mac depan.