Menu RMT di sekolah perlu dipantau - Nurul Izzah

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

SHAH ALAM - Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah perlu dipantau dan mengandungi menu bernutrisi tinggi untuk kanak-kanak di negara ini.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, masih ramai pelajar B40 tidak mendapat nutrisi yang mencukupi setiap hari terutama mereka yang berada di bandar.

“Kita ada RMT untuk murid-murid ini, tapi tidak kesemua mereka yang dapat makanan bernutrisi di sekolah.

“Kita juga akan memastikan kontrak tidak akan diberi kepada sesiapa secara sembrono agar anak-anak kita mendapat nutrisi yang sepatutnya di sekolah melalui program ini.

“Tiada siapa yang akan mengaut keuntungan daripada makanan pelajar B40,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Ahad.

RMT dilaksanakan sejak 1979 bagi memastikan murid daripada keluarga susah memperoleh khasiat makanan yang diperlukan.

Dalam pada itu, Nurul Izzah mendakwa , golongan tersebut semakin menderita manakala kuasa beli B40 kini mengecut secara drastik akibat inflasi.

Menurutnya, makanan adalah keperluan asas dan semua keluarga berhak mendapat akses yang sama kepada sumber tersebut.

“Saya dengar ada sekolah yang menggunakan susu pekat sebagai pengganti susu dan hanya bagi mi dalam sukatan yang sangat kecil.

“Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS), 21.8 peratus kanak-kanak di Malaysia membesar dengan tumbesaran terbantut akibat pengambilan makanan yang tidak seimbang.

“Yang ni kita sendiri boleh lihat dengan jelas di mana sesetengah pelajar sekolah terjejas tumbesarannya,” jelasnya.