Potter mahu 'cuci tangan'

Potter - Foto EPA
Potter - Foto EPA
A
A
A

GRAHAM Potter seakan-akan mahu 'cuci tangan' ketika Chelsea diaibkan 0-1 oleh pasukan tercorot, Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Jaringan tunggal James Ward-Prowse pada lewat separuh masa pertama sudah cukup buat Southampton membawa pulang tiga mata berharga dari Stamford Bridge.

Southampton menang buat kali kedua dalam liga sejak Oktober, meneruskan rekod tanpa kemenangan Chelsea dalam empat perlawanan liga.

Chelsea bergelut untuk mencipta peluang diejek penyokong yang kecewa pada penghujung aksi menyaksikan pasukan mereka tidak menjaringkan gol pada 13 aksi.

Tekanan yang semakin memuncak ke atas Potter selepas menggantikan Thomas Tuchel yang dipecat pada September lalu, namun bekas bos Brighton itu tetap mempertahankan dirinya.

"Selepas kekalahan 1-0 di laman sendiri sebarang kritikan penyokong memang boleh difahami," kata Potter.

Beliau menjelaskan, Chelsea melalui tempoh sukar, biarpun melakukan banyak perubahan termasuk menyesuaikan pemain muda dalam kancah EPL.

"Apabila keputusan tidak memihak kepada kami, ia boleh menjadi sukar.

"Saya percaya ada orang di luar sana yang akan fikir sayalah masalah itu. Saya rasa mereka salah.

"Saya bukanlah bongkak untuk mengatakan pandangan mereka tidak perlu dilayan. Tugas saya adalah membantu pasukan melalui tempoh yang sukar," katanya.

Chelsea membelanjakan lebih £300 juta (RM1.6 bilion) untuk membeli pemain baharu pada Januari, namun Potter masih belum dapat menukar pelaburan besar mereka kepada keputusan yang berbaloi.