Amarjit terkejut menang besar

Amarjit
Amarjit
A
A
A

TOKOH berbasikal antarabangsa, Datuk Amarjit Singh memahat sejarah tersendiri apabila hampir menyapu bersih undian pada Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi penggal 2023-2026 sebentar tadi.

Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu meraih 71 daripada keseluruhan 72 undian untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden PKBM.

Amarjit berkata, dia amat terkejut dengan pencapaiannya itu dan berterima kasih kepada semua perwakilan negeri yang mempercayai kebolehannya untuk terus memberi sumbangan kepada PKBM.

“Saya terharu dengan sokongan daripada perwakilan negeri. Ini menunjukkan perwakilan negeri percaya saya boleh memberi sumbangan positif kepada sukan berbasikal.

“Saya akan menjaga kepentingan PKBM selain UCI dan ACC (Konfederasi Berbasikal Asia) dengan baik,” katanya kepada pemberita sejurus selesai sesi pemilihan tersebut yang diadakan di Melaka.

Dalam pada itu, bekas menteri kabinet, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut memenangi jawatan Naib Presiden PKBM bagi penggal 2023-2026.

Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) itu meraih 33 undi untuk menduduki tempat kelima daripada pertandingan 10 penjuru.

Jumlah undian tersebut sudah cukup buat Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali KJ untuk mengisi salah satu daripada lima kuota Naib Presiden PKBM.

Selain Amarjit dan Khairy Jamaluddin, turut mengisi jawatan Naib Presiden PKBM ialah Mohd Saiful Abdul Jalil, Dr Zaim Ahmad dan Norazman Abu Samah.

Pertandingan Timbalan Presiden PKBM pula menyaksikan kejutan terbesar apabila penyandang jawatan, Yunus Ibrahim dari Negeri Sembilan gagal untuk mempertahankan jawatannya.

Yunus hanya memperoleh 26 undi berbanding 45 yang diraih pencabarnya, Mazlan Md Jalil yang sebelum ini memegang jawatan Naib Presiden PKBM.

“Saya sangat terkejut, tetapi saya percaya ini adalah satu keputusan daripada semua perwakilan negeri. Saya anggap ini hari bertuah kepada diri saya,” jelas Mazlan.

Sebelum pemilihan itu, Datuk Abu Samah Abd Wahab telah diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKBM.

Senarai Penuh Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PKBM Penggal 2023-2026:

Presiden: Datuk Abu Samah Abd Wahab (menang tanpa bertanding)

Timbalan Presiden: Mazlan Md Jail (45 undi)

Naib Presiden 1: Datuk Amarjit Singh (71)

Naib Presiden 2: Mohd Saiful Abd Jalil (54)

Naib Presiden 3: Dr Zaim Ahmad (46)

Naib Presiden 4: Norazman Abu Samah (42)

Naib Presiden 5: Khairy Jamaluddin (33)