PIBG SK Bukit Jawa 1 bantu murid B40 berkhatan

Mohd Faeiz (kiri) dan anggota bomba memandikan kanak-kanak yang menyertai Program Khatan Perdana@Sejiwa pada Sabtu.
Mohd Faeiz (kiri) dan anggota bomba memandikan kanak-kanak yang menyertai Program Khatan Perdana@Sejiwa pada Sabtu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 1 di sini mengambil inisiatif membantu ibu bapa golongan B40 melaksanakan program berkhatan.

Program yang hanya dikenakan bayaran sebanyak RM40 untuk seorang murid itu menjimatkan kos sesuai dengan perbelanjaan sara hidup yang semakin meningkat.

Pengerusi PIBG sekolah itu, Mohd Faiez Mohd Fauzi berkata, seramai 30 kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun mengambil peluang berkhatan.

Menurutnya, harga semasa berkhatan kini mungkin mencecah antara RM120 hingga RM150 bergantung kepada keperluan peralatan dan ubat-ubatan.

"Kesemua pihak yang terlibat tidak mengambil keuntungan malah ibu bapa hanya dikenakan caj pembelian ubat-ubatan dan peralatan yang akan digunakan dalam proses penyembuhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Khatan Perdana@Sejiwa di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, pihaknya bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Puteh, Masjid Al Adzim Mukim Selising, Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Prihatin Komuniti Selising bagi melancarkan pelaksanaan program.

Tambah beliau, khatan perdana akan menjadi acara tahunan dan PIBG sebagai pemudahcara antara pihak sekolah dan ibu bapa mencari alternatif terbaik untuk manfaat anak-anak mereka.

Mohd Faiez.dan Asiah
Mohd Faiez.dan Asiah

Sementara itu surirumah, Asiah Mahussin, 40 mengambil peluang supaya anaknya, Muhammad Nabil Khan Muhammad Zubair, 10, dapat berkhatan lebih awal.

"Cuti persekolahan merupakan masa yang sesuai kerana saya tidak sibuk dan anak-anak boleh berehat," katanya.

Asiah memberitahu, selain bayaran lebih murah, dia mahu anaknya menikmati suasana dimandikan oleh pasukan bomba.

"Muhammad Nabil juga teruja berkhatan dan bangun awal pagi walaupun cuti sekolah untuk bersama-sama rakan lain," katanya.