'Pondok polis tu dah ditutup sejak 2010'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan dakwaan seorang lelaki tidak dibenarkan membuat laporan berhubung kes kemalangan hingga tular di media sosial sejak beberapa hari lalu sebagai fitnah kepada pihak berkuasa keselamatan itu .

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, perbuatan tidak beretika itu menjadi tular ekoran satu ciapan di akaun Twitter dimuat naik seorang lelaki yang menggunakan nama @ManiamMKM.

Menurutnya, individu tersebut mendakwa bahawa terdapat satu kemalangan berlaku di kawasan Bukit Damansara pada 15 Februari sekitar jam lebih kurang 9.58 malam.

Katanya, pengadu memaklumkan mangsa tidak dibenarkan membuat laporan polis di Balai Bukit Damansara, sebaliknya diminta untuk pergi ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati, pondok polis dimaksudkan adalah Pondok Polis Komuniti di Bukit Damansara yang telah ditutup semenjak 2010 dan tidak lagi beroperasi

"Pondok polis tersebut telah diambil alih oleh Syarikat Kawalan Keselamatan Sri Lara pada 2011.

"Ciapan tersebut merupakan satu fitnah, pihak polis telah membuat satu laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," katanya dalam satu kenyataan.

Amihizam berkata, orang ramai diminta supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber sahih dan tepat daripada pihak polis.

Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan menerusi hotline polis Brickfields di talian 03-22979222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.