NGO mohon campur tangan Sultan Perak isu ladang hutan

Enam NGO bersama dua parti politik menyerahkan memorandum bantahan cadangan pelaksanaan pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong kepada wakil pejabat Sultan Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada Jumaat.
Enam NGO bersama dua parti politik menyerahkan memorandum bantahan cadangan pelaksanaan pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong kepada wakil pejabat Sultan Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada Jumaat.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sebanyak enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memohon Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah campur tangan terhadap cadangan pelaksanaan pembangunan ladang hutan (ladang monokultur) seluas 4,280 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong di sini.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pelaksanaan pembangunan ladang berskala besar itu dibimbangi akan memberi kesan kepada 10 kampung berhampiran dan menimbulkan konflik hidupan liar dengan manusia.

"Kita kemukakan memorandum menyuarakan bantahan kepada kerajaan negeri yang telah meluluskan projek ladang hutan ini.

"Berdasarkan pengalaman kami di lapangan, kebanyakan projek ladang hutan akan memberi impak persekitaran kepada penduduk berhampiran antaranya Kampung Rambai Tujuh, Sayong dan lain-lain.

"Kita tidak mahu tragedi kepala air di Gunung Inas, Baling terjadi. Itu melibatkan kawasan lebih 500 hektar, bayangkan impaknya sekiranya hutan seluas lapan kali ganda ini ditebang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan memorandum kepada wakil pejabat Sultan Perak di Bukit Chandan di sini pada Jumaat.

Selain SAM, penyerahan memorandum turut melibatkan Pertubuhan Komuniti Sejahtera Aman Perak, Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam.

Turut menyokong memorandum itu, Pemerhati Lembah Kinta dan Jawatankuasa Bertindak Kampung Rambai Tujuh selain Parti Hijau Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tambah Meor Razak, kualiti sumber air mentah untuk loji rawatan air akan terjejas akibat daripada proses hakisan, sedimentasi dan pemendapan lumpur.

"Tidak mustahil projek ini akan mencemarkan anak-anak sungai. Air yang keruh dan mendapan yang terhasil boleh menjejaskan operasi muka sauk loji rawatan air yang ada di sepanjang Sungai Perak.

"Kegiatan nelayan darat dan hasil hutan yang menjadi sumber pendapatan penduduk juga akan terjejas," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Rambai Tujuh, Dailami Zahari berkata, 200 keluarga melibatkan 500 penduduk akan menerima kesan daripada projek yang terletak kira-kira dua kilometer dari kampung mereka.

"Penduduk kampung pernah mengalami banjir berikutan projek pengambilan kayu pada 2016 dan kini, apabila tiada pembalakan paras air Sungai Menora, Sungai Akar dan Sungai Sireh mencatatkan paras bahaya.

"Kami juga tidak menerima sebarang kajian Laporan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang dilaksanakan syarikat terlibat. Kami yang merasai sendiri banjir sebelum ini berharap supaya projek ini dapat dibatalkan," katanya.