Funikular Bukit Bendera rai sambutan ke-100 tahun

Perkhidmatan sistem kereta api funikular di Bukit Bendera bakal meraikan sambutan ke-100 tahun perkhidmatannya tidak lama lagi.
Perkhidmatan sistem kereta api funikular di Bukit Bendera bakal meraikan sambutan ke-100 tahun perkhidmatannya tidak lama lagi.
A
A
A

GEORGETOWN - Sistem kereta api funikular di Bukit Bendera yang menjadi salah satu mercu tanda Pulau Pinang bakal meraikan sambutan ke-100 tahun perkhidmatannya tidak lama lagi.

Sejak pembukaan funikular Bukit Bendera pada 21 Oktober 1923, ia telah membawa lebih 47 juta pengunjung termasuk 1.48 juta pengunjung yang menggunakan perkhidmatan kereta api berkenaan pada tahun lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, funikular yang digunakan kini adalah generasi ketiga yang telah melakukan lebih daripada 275,000 perjalanan yang melebihi 550,000 kilometer (km) sejak seabad lalu.

Menurutnya, walaupun koc funikular telah berubah secara fizikal daripada generasi pertama kepada generasi ketiga tetapi warisan sejarah, nilai sosio-ekonomi dan kepentingannya masih kekal, sesuai dengan statusnya sebagai salah satu ikon sejarah Pulau Pinang.

"Sempena meraikan sambutan ke 100 tahun, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) telah membalut kedua-dua koc funikular generasi ketiga ini dengan pelekat logo sambutan ulang tahun ke-100 beserta tagline '100 Tahun Transformasi' dan grafik.

"Funikular yang dibalut membawa mesej 100 tahun yang menonjol bagi pengunjung melihat dan mengingati, sekali gus meraikannya bersama-sama sambutan bersejarah ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBBPP berkata, sempena meraikan detik bermakna ini, PBBPP juga akan menganjurkan beberapa aktiviti seperti pameran, pelancaran buku, video dokumentari, peraduan media sosial, promosi oleh penyewa gerai dan serta pengeluaran barangan edisi khas.

Selain itu, katanya tiket laluan cepat funikular Bukit Bendera edisi khas juga boleh dijadikan koleksi kenangan sempena peringatan kepada sambutan ulang tahun ke-100 tahun ini.

"Banyak lagi kejutan dan aktiviti menarik telah disusun sepanjang tahun ini.

"Pastinya semua acara yang diadakan nanti menjanjikan lebih banyak kenangan dan pengalaman seperti Penang Hill Festival, Penang Hill Heritage Forest Challenge dan Trash Free Hill,"katanya.

Sistem funikular Bukit Bendera yang berusia satu abad dibina dan disiapkan seorang jurutera Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Arnold Robert Johnson pada 1923.

Funikular buatan Eropah yang unik itu dikatakan yang pertama digunakan di Asia Tenggara dan ia masih kekal sehingga ke hari ini.

Sebelum funikular itu siap dibina, cara untuk naik ke Bukit Bendera menjadi cabaran buat masyarakat di kawasan berkenaan yang mana ketika itu mereka perlu berjalan kaki mendaki, menggunakan tunggangan kuda atau doolies.

Selepas sistem funikular itu berooperasi, ia bukan sahaja memudahkan orang ramai khususnya pekerja dan penduduk setempat bergerak malah keretapi ikonik itu telah membawa jutaan pengunjung dari dalam dan luan negara ke puncak Bukit Bendera yang merupakan salah satu destinasi pelancongan di negeri ini.

Selain itu, perkhidmatan kereta api itu juga pernah membawa ramai tetamu kenamaan termasuk mendiang Ratu Elizabeth II, Maharaja dan Permaisuri Jepun serta Putera Kemboja.