Program ladang B40 galak rakyat ceburi sektor pertanian

Zuhairi (tiga dari kanan) dan Mohd Adib (tiga dari kiri) dan Wooi Giap (dua dari kiri). selepas majlis memeterai perjanjian strategik antara PPNP dan KPFNP di Kuantan pada Jumaat.
Zuhairi (tiga dari kanan) dan Mohd Adib (tiga dari kiri) dan Wooi Giap (dua dari kiri). selepas majlis memeterai perjanjian strategik antara PPNP dan KPFNP di Kuantan pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) memperkenalkan program ladang untuk B40, dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat menceburi sektor pertanian menerusi penanaman getah, kelapa sawit dan durian.

Program itu mendapat kerjasama daripada koperasi peserta-peserta Felcra Nasaruddin Pemulihan Perak Tengah Berhad (KPFNP) dan Fabulous Resources Sdn. Bhd. (FRSB) selepas memeterai perjanjian strategik bersama PPNP.

Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab Kadir berkata, program kali pertama diperkenalkan itu bagi membantu meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya golongan B40 dengan menyediakan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian.

Menurutnya, malah kerajaan Pahang juga dapat menambah kutipan hasil melalui projek pertanian yang diusahakan oleh rakyat.

"Program ini memfokuskan kumpulan sasar berpendapatan rendah dan penduduk tempatan juga ditawarkan menyertainya.

"Kita sebenarnya komited untuk terus memperkasakan komuniti agro menerusi program-program pertanian kami termasuklah menerusi kerjasama bersama KPFNP ini dan menyasarkan kawasan sehingga 4,046 hektar," katanya dalam satu kenyataan selepas berakhirnya majlis memeterai perjanjian kerjasama strategik itu di sini pada Jumaat.

Simbolik kerjasama strategik ini disempurnakan Zuhairi dan Pengerusi KPFNP, Mohd Adib Abu Samah, sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FRSB, Datuk Lai Wooi Giap.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan menumpukan kepada lima sektor termasuk sektor pertanian berteknologi tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Wan Rosdy berkata, tumpuan terhadap sektor pertanian tersebut dilihat bersesuaian kerana mengambil kira penglibatan penduduk di negeri ini khususnya di kawasan pedalaman dalam bidang pertanian.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama PPNP dengan dua organisasi itu, Zuhairi berkata kerjasama strategik antara PPNP, KPFNP dan FRSB dapat menjana pendapatan tambahan dalam sektor penanaman komoditi seperti getah, kelapa sawit dan durian kepada mereka yang berminat.

Jelasnya, semua urusan pembangunan dan operasi akan dikendalikan oleh FRSB termasuk berkongsi pengalaman dan kepakaran manakala pemilihan peserta dilakukan PPNP dan KPFNP.

“FRSB akan berperanan sebagai pembiaya kepada program ini, pengurusan ladang dan penjualan komoditi. PPNP dan KPFNP pula akan bertanggungjawab untuk mewujudkan peserta pertanian, menyedia kemudahan ladang, bimbingan, penyelenggaraan, mengadakan hubungan, kerjasama dengan organisasi di sektor awam yang terlibat dengan pembangunan, penguatkuasaan serta perdagangan pertanian," ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Adib berharap kerjasama melibatkan organisasi dan entiti korporat ini dapat terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Katanya, ia penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat terus dijana selain membantu meningkatkan lagi kestabilan jaminan keselamatan makanan negara khususnya ketika dunia kini dihimpit dengan ketidakstabilan ekonomi dan ekosistem rantaian makanan.

Dalam pada itu, Wooi Giap menghargai kerjasama PPNP dan KPFNP serta bersedia menilai kesesuaian termasuk mencadangkan jenis tanaman yang bersesuaian.

“Ia akan menjadi satu jalinan yang memberi manfaat secara langsung kepada semua pihak terlibat.

"Program ini juga akan membuka peluang baharu kepada komuniti setempat dan kerajaan untuk meneroka peluang pertanian yang berpotensi besar untuk menjana pendapatan menerusi program yang dicadangkan melalui kerjasama ini,” katanya.