Kelonggaran kelayakan kategori B buat sukan tertentu - MOM

Norza. - Foto: Bernama
Norza. - Foto: Bernama
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) sedia memberi kelonggaran kepada sukan tertentu sekiranya mereka tetap 'berkeras' menyenaraikan atlet senior dalam kategori B untuk Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, dari 5 hingga 17 Mei ini.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, antara sukan yang boleh dipertimbangkan untuk membawa atlet senior adalah olahraga, polo air, bola tampar, lumba perahu tradisional serta snuker dan biliard.

Menurutnya, khidmat atlet senior ini sememangnya diperlukan dalam usaha membimbing atlet junior beraksi dalam temasya dwitahunan itu.

“Dalam sukan snuker dan biliard ada atlet yang berumur 50 dan ke atas kerana anda harus faham sukan ini memang bermula lambat dan individu yang sertai juga lambat, bawah umur tak boleh masuk ke dalam kawasan tertentu (pusat snuker).

“Untuk sukan olahraga sekiranya terdapat seorang atlet senior dan tiga lagi atlet junior dalam acara kuartet 4x100 meter (m) mahupun 4x400m, kita boleh pertimbangkan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Eksekutif MOM kali ke-204 di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Oktober lepas, mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM menetapkan hanya atlet berusia 23 tahun ke bawah boleh mewakili negara dalam Kategori B, sekali gus menyaksikan tiada lagi atlet 'veteran' beraksi di Sukan SEA Kemboja tanpa melepasi had kelayakan Kategori A, iaitu kedudukan tiga terbaik di Asia Tenggara.

Bagi temasya antarabangsa, semua kos penyertaan bagi atlet Kategori A ditanggung MOM, manakala kos bagi Kategori B ditanggung atlet atau persatuan sukan terlibat, tetapi dibayar balik jika mereka berjaya membawa pulang pingat.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata, terdapat 799 atlet dan pegawai termasuk dalam senarai awal bagi mewakili negara pada Sukan SEA 2023.

Katanya, jumlah tersebut merangkumi 367 atlet dan 143 pegawai yang memenuhi kriteria Kelayakan A, manakala 227 atlet dan 62 pegawai berada dalam Kategori B.

Beliau juga berkata, senarai atlet dan pegawai pasukan untuk lapan persatuan bukan ahli gabungan iaitu finswimming, catur xiangqi, e-sukan, jetski, jiujitsu, kickboxing, obstacle race dan petanque akan dimuktamadkan sebelum tarikh tamat tempoh penghantaran nama atlet ke Sukan SEA 2023, 5 Mac ini.

Sementara itu, beliau berkata, olahraga dijangka membentuk skuad terbesar dengan 33 atlet layak mengikut Kategori A dan 31 lagi di bawah Kategori B sebagai persiapan menyiapkan skuad berwibawa bagi mengharungi saingan Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand dan Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza mengumumkan bekas ratu boling negara, Datuk Shalin Zulkifli dan bekas juara skuasy perseorangan wanita Sukan SEA Manila 2005, Sharon Wee dilantik menjadi Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan SEA 2023.

Beliau optimis pengalaman diraih kedua-dua bekas atlet kebangsaan itu bukan sahaja dapat membantu Ketua Kontinjen, Datuk Mohd Nasir Ali malah memberi inspirasi kepada barisan atlet untuk tampil menyerlah di Kemboja.

Beliau pada masa sama berkata, status keahlian Persekutuan Petanque Malaysia sebagai ahli bersekutu telah terlucut berpandukan Artikel 24.2 (a) Perlembagaan MOM yang memperuntukkan keahlian mana-mana ahli digugurkan seandainya tidak berdaftar dengan pertubuhan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1992, Akta Pertubuhan 1996 dan Akta Syarikat 1965.

“Mesyuarat turut meluluskan cadangan Lembaga Eksekutif untuk menyenaraikan dua ahli baharu iaitu Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) dan Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF) sebagai ahli bersekutu MOM,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia tidak tidak akan bertanding dalam acara Khun Khmer pada Sukan SEA kali ini selepas Persekutuan Persatuan Muaythai Antarabangsa (IFMA) membantah keputusan tuan rumah untuk melantik sebuah Persekutuan Asia (AF) yang tidak diiktiraf bagi menganjurkan acara itu dengan menggunakan peraturan Kun Khmer. - Bernama