19 kakitangan MSP berjaya tawan Gunung Kinabalu

Sebahagian daripada kakitangan MSP meraikan kejayaan selepas menawan puncak Gunung Kinabalu.
Sebahagian daripada kakitangan MSP meraikan kejayaan selepas menawan puncak Gunung Kinabalu.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 19 kakitangan Majlis Sukan Pahang (MSP) terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita yang diketuai Pengarah MSP, Zamri Hassan melakar sejarah dengan kejayaan menawan puncak Gunung Kinabalu, Sabah setinggi 4095.2 meter, baru-baru ini.

Memulakan pendakian pada 12 Februari, seramai 10 pendaki berusia antara 24 hingga 48 tahun itu telah berjaya tiba di puncak gunung terbabit pada jam 5.40 pagi keesokan harinya manakala sembilan lagi pendaki tiba pada jam 5.30 pagi sehari selepas itu.

Kepuasan jelas tergambar di wajah pendaki terdiri kakitangan MSP
Kepuasan jelas tergambar di wajah pendaki terdiri kakitangan MSP

Menurut Zamri, program ekspedisi terbabit adalah anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Kakitangan MSP bertujuan menguji tahap fizikal dan mental kakitangan selain memupuk semangat berpasukan dalam kalangan pegawai serta kakitangan.

"Bagi ekspedisi ini, kita membuat persediaan lebih sebulan bermula Januari lalu di Bukit Pelindung yang dijadikan tempat latihan harian setiap petang manakala hujung minggu pula latihan dilakukan di Bukit Panorama Sungai Lembing di sini," jelasnya.

Beliau berkata, ia adalah ekspedisi julung kalinya ke Gunung Kinabalu dan menghargai semua komitmen pendaki yang terlibat.

"Syukur ke hadrat Ilahi kerana telah diberi kekuatan mental dan fizikal sepanjang ekspedisi kali ini dengan laluan yang mencabar menuju puncak, ditambah dengan suhu yang rendah antara cabaran buat pendaki yang rata-rata merupakan kali pertama menyertai ekspedisi seumpama ini.

Seramai 19 kakitangan MSP diketuai Pengarah MSP terlibat dalam ekspedisi menawan puncak Gunung Kinabalu.
Seramai 19 kakitangan MSP diketuai Pengarah MSP terlibat dalam ekspedisi menawan puncak Gunung Kinabalu.

"Kelab ini merancang ke Gunung Rinjani, Lombok pula selepas ini," tambah beliau yang turut memaklumkan kesemua pendaki selamat tiba di Kuantan pada Khamis.