Tidak serik ditangkap, kembali aktif jual air ketum

Mohamad Fakhrudin (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan air ketum selepas pihaknya membuat tangkapan di sebuah rumah di Taman Medan, Petaling Jaya pada Rabu.
Mohamad Fakhrudin (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan air ketum selepas pihaknya membuat tangkapan di sebuah rumah di Taman Medan, Petaling Jaya pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Tiga kali pernah ditangkap sebelum ini namun seorang lelaki tidak pernah serik menjual air ketum yang telah diproses.

Suspek merupakan seorang daripada lima lelaki yang ditahan pihak polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Medan, dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam tangkapan jam 6 petang itu, sebanyak 92 botol plastik lutsinar yang dipercayai berisi cecair disyaki air ketum dirampas.

Katanya, kesemua botol bersaiz 1.5 liter air ketum itu dianggarkan berisipadu 138,000 mililiter.

Menurutnya, polis turut merampas 10 bungkus plastik mengandungi 50 kilogram daun ketum.

"Kesemua suspek berusia 23 hingga 37 tahun yang ditahan akan direman sehingga esok.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3,340 dan boleh membekalkan kepada 1,326 orang pelanggan," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, suspek utama mempunyai tiga rekod lampau bersabit kes di bawah Akta Racun 1952 (Pindaan 2022), selain tujuh rekod jenayah.

Katanya, suspek berusia 30-an itu pernah ditangkap sebanyak dua kali pada 2017 dan terakhir ditahan pada 2019.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kembali aktif menjual air ketum sejak dua atau tiga bulan sebelum ditangkap.

"Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (Pindaan 2022) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama.

"Sabit kesalahan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.