Dadah, ketum RM8.76 juta dirampas

Antara peket disyaki berisi dadah yang dirampas JSJN dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Lembah Klang baru-baru ini.
Antara peket disyaki berisi dadah yang dirampas JSJN dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Lembah Klang baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah selain ketum bernilai RM8.76 juta dalam tempoh dua minggu sejak 1 Februari.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM berkata, statistik setakat 15 Februari itu merekodkan 7,946 tangkapan atas pelbagai seksyen kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

Menurutnya, 10 individu turut ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

"Sebanyak tiga sindiket melibatkan 11 orang tangkapan telah berjaya ditumpaskan serta sebuah makmal dadah berjaya dibongkarkan.

"JSJN juga telah merampas sebanyak 210 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, 189 liter pelbagai jenis cecair dadah, 3,079 kg daun ketum serta 8,539 liter air ketum dengan nilai rampasan keseluruhan adalah berjumlah RM8.76 juta," katanya di laman Facebook rasminya pada Jumaat.

Antara individu yang diperiksa dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Lembah Klang baru-baru ini.
Antara individu yang diperiksa dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Lembah Klang baru-baru ini.

Tambah kenyataan itu, sepanjang tempoh dua minggu ini juga, seramai 1,118 penagih dadah tegar dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952 dan daripada jumlah tersebut seramai 586 orang telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

Tegasnya, JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Seramai 23 orang penjawat awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah," ujarnya.

Selain itu, katanya lagi, sebanyak 3,287 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,980 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 60 peratus.

"Dalam usaha melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, sejumlah RM779,000 aset telah disita manakala sebanyak RM149,000 telah dilucut hak," katanya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh itu juga terdapat kes menarik iaitu tangkapan 12 individu termasuk lima ‘doktor’ di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor serta merampas 21 kg disyaki dadah jenis ketamin dan 2 kg syabu yang bernilai RM1.27 juta pada 7 Februari.

"JSJN menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, sila salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-2087222," katanya.