'Doktor' pakar bancuh dadah jadi jus diberkas

Azmi menunjukkan minuman disyaki berisi dadah yang dirampas dalam serbuan polis, baru-baru ini. - Foto Polis KL
Azmi menunjukkan minuman disyaki berisi dadah yang dirampas dalam serbuan polis, baru-baru ini. - Foto Polis KL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga sindiket yang didalangi warga tempatan tumpas susulan penahanan 12 individu dengan rampasan dadah bernilai RM2.1 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, 10 serbuan itu dijalankan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama JSJN Bukit Aman bermula 7 hingga 9 Februari lalu.

Menurutnya, kesemua yang diberkas terdiri 10 lelaki tempatan dan dua wanita termasuk seorang daripadanya warga asing berusia antara 22 sehingga 39 tahun.

"Lima daripada suspek merupakan ‘doktor’ pusat hiburan yang berperanan sebagai pakar bancuh dadah ketamin ke dalam air minuman.

"Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah mencampurkan dadah-dadah berkenaan ke dalam minuman sebelum dijual kepada pengunjung pusat hiburan dengan harga RM300 bagi setiap botol,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur pada Isnin.

Azmi berkata, operasi pertama di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor itu berjaya menahan enam lelaki tempatan dengan rampasan dadah bernilai RM1.3 juta selain pelbagai barangan seperti barang kemas, kenderaan dan wang tunai bernilai RM432,350.

Azmi (dua kiri) menunjukkan minuman disyaki berisi dadah yang dirampas dalam serbuan polis, baru-baru ini. - Foto Polis KL
Azmi (dua kiri) menunjukkan minuman disyaki berisi dadah yang dirampas dalam serbuan polis, baru-baru ini. - Foto Polis KL

Tambahnya, operasi kedua pada keesokannya berjaya menahan lima lagi individu di sekitar Kuala Lumpur dengan rampasan dadah bernilai RM224,000, wang tunai dan kenderaan bernilai RM548,383.

"Serbuan ketiga pula dilakukan pada 9 Februari di tempat letak kereta di ibu negara sebelum menahan seorang lelaki.

“Hasil tangkapan terakhir ini kita berjaya merampas dadah bernilai RM55,000 dan kenderaan bernilai RM40,000,” katanya.

Tegasnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan ahli-ahli sindiket yang terlibat.

"Kesemua suspek berusia 22 hingga 39 tahun direman tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.