'Didik menanam dari sekolah, tidaklah cili pun kena beli'

Saarani membantu jualan barangan keperluan ketika meninjau operasi jualan di Pasar Tani Mesra sempena program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia pada Khamis.
Saarani membantu jualan barangan keperluan ketika meninjau operasi jualan di Pasar Tani Mesra sempena program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Sekolah di Perak digalakkan untuk melibatkan pelajar mereka dalam aktiviti tanaman dan pertanian.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendedahan seumpama itu dapat mencetuskan kepada budaya menyiapkan keperluan makanan sendiri selain daripada membeli.

Menurutnya, langkah tersebut juga selari dengan matlamat Perak Sejahtera 2030 untuk menarik lebih ramai rakyat negeri ini bersiap sedia ke arah pertanian dapur.

"Menarik orang berminat dengan tanaman ini agak sukar. Kita dah buat bermacam-macam, jadi akhirnya kita buat keputusan, kita mulakan dari peringkat sekolah supaya mereka cintakan kerja pertanian bukan sahaja untuk tujuan sara diri, kalau lebih boleh dijual.

"Tak mengapalah kita kena beli beras sebab padi susah ditanam, tetapi tak kan cabai (cili) burung pun kena beli. Sedangkan cabai burung boleh tanam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023 dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Edu Farming Sekolah 2022 sempena program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.

Saarani berkata, pertandingan Edu Farming mendapat sambutan menggalakkan daripada sekolah-sekolah negeri ini.

"Saya dimaklumkan oleh Pengarah Pertanian, sekolah terlibat memang berusaha sehabis baik.

"Kita harap ini akan menjadi budaya kepada pelajar-pelajar tersebut dan juga keluarganya," katanya.

Sebanyak 16 sekolah dari daerah Kinta Utara, Kinta Selatan, Perak Tengah dan Kerian telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut membabitkan dua kategori iaitu sekolah menengah dan sekolah rendah.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Idris Shah, Gopeng dinobatkan sebagai juara, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak bagi kategori sekolah rendah masing-masing membawa pulang RM6,000 berserta plak dan sijil.

Penyertaan bagi Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023 masih dibuka sehingga 28 Februari ini kepada mana-mana komuniti masjid dan surau di seluruh negeri.

Penganjuran kedua-dua pertandingan itu melibatkan kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Agrobank, Jabatan Pertanian, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Jabatan Pendidikan serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).