Trump halang keadilan

Laporan siasatan terhadap campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016 dikeluarkan pada Khamis lalu.
Laporan siasatan terhadap campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016 dikeluarkan pada Khamis lalu.
A
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Ahli Kongres daripada Parti Demokrat telah mengambil langkah undang-undang untuk melihat kesemua bukti siasatan dibuat Peguam Khas, Robert Mueller terhadap dakwaan campur tangan Rusia ke atas Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2016.

Laporan setebal 448 muka surat diterbitkan pada Khamis lalu itu turut mendedahkan salah laku Presiden Donald Trump dan pasukannya serta kemungkinan tuduhan menghalang keadilan yang menyebabkan beberapa Ahli Kongres mendesak pemecatan jutawan hartanah itu kira-kira 18 bulan sebelum pilihan raya presiden 2020.

Menerusi laporan siasatan dijalankan selama 22 bulan itu, Mueller mendapati kempen pilihan raya Trump telah diselaraskan dengan Moscow, namun bukti tidak mencukupi untuk mengaitkan pasukan kempen Trump berkomplot dengan Kremlin dalam 'aktiviti gangguan' pilihan raya.

Bagaimanapun, penyiasat mendapati '10 tindakan' Trump yang cuba menggunakan pengaruhnya terhadap siasatan itu.

Mueller turut menyatakan beberapa contoh insiden pada 2017 dan 2018 yang menunjukkan cubaan Trump untuk menggagalkan siasatan itu termasuk memecat bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey selain menggesa pemecatan Mueller.

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman di Dewan Perwakilan, Jerrold Nadler yang juga ahli Parti Demokrat telah mengeluarkan sepina kepada Jabatan Kehakiman untuk mengeluarkan laporan penuh Mueller dan menolak versi yang disunting.

"Tindakan Peguam Negara, William Barr menyekat laporan penuh siasatan itu amat dikesali, namun ia bukan perkara mengejutkan. Walaupun laporan itu tidak penuh, siasatan itu jelas menunjukkan bukti Trump menghalang keadilan," ujarnya.

Nadler juga tidak menolak kemungkinan pilihan keputusan pemecatan terhadap Trump selepas beberapa anggota Demokrat seperti Alexandria Ocasio-Cortez dan Ilhan Omar mendesak langkah tersebut.- Agensi

Artikel Berkaitan: