HUAWEI berhasrat wujud masa depan rendah karbon

Penyerahan penghargaan kepada Nik Nazmi (dua dari kanan) sewaktu di Sidang Kemuncak Kuasa Digital HUAWEI 2023.
Penyerahan penghargaan kepada Nik Nazmi (dua dari kanan) sewaktu di Sidang Kemuncak Kuasa Digital HUAWEI 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - HUAWEI Teknologi Sdn Bhd (HUAWEI Malaysia) berhasrat untuk menyediakan dan berkongsi menggunakan teknologi baharu untuk mengalihkan industri tenaga di Malaysia ke arah pembinaan tenaga yang cekap, mesra alam dan rendah karbon.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk pembangunan teknologi hijau telah beralih daripada penggunaan teknologi kepada pengeluaran teknologi.

“Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui juga membawa faedah ekonomi seperti penciptaan pekerjaan dan peningkatan keselamatan tenaga.

“Potensi jualan elektrik rentas sempadan masa depan dan aktiviti seperti perdagangan karbon juga akan menggalakkan pembangunan ekonomi dan sosial untuk Malaysia,” katanya ketika berucap di Sidang Kemuncak Kuasa Digital HUAWEI 2023 pada Rabu.

Tambah beliau, semua itu akan membantu meletakkan negara sebagai hab tenaga boleh diperbaharui dan menarik pelaburan asing ke Malaysia melalui pembangunan loji janakuasa serta hasil daripada kemungkinan penjualan rentas sempadan penjanaan semula.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan orang ramai perlu berhadapan dengan perubahan iklim kerana ia merupakan cabaran eksistensial dan harus dihadapi oleh semua negara secara bersama-sama.

“Pembakaran bahan api fosil telah membawa kepada peningkatan ketara dalam pelepasan karbon, menyumbang kepada pemanasan global dan kemerosotan sumber planet serta atmosfera,” katanya.

Naib Presiden Asia Pasifik HUAWEI, Zhang Zheng Jun berkata, usaha negara dalam mencapai sifar karbon menjelang 2050 memerlukan sokongan banyak pihak.

“Bagi menentukan matlamat ini berjaya, kerjasama daripada pihak berkepentingan seperti sektor awam dan swasta amat diperlukan untuk memastikan peralihan daripada penjanaan kuasa fosil kepada kuasa hijau digital menjadi kenyataan.

“Walaupun tiada preskripsi khusus untuk perubahan segera, keazaman teguh kami untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih dan kemampanan tidak akan pernah pudar,” katanya ketika Sidang Kemuncak Kuasa Digital HUAWEI 2023 pada Rabu.

Penyerahan penghargaan kepada Nik Nazmi (dua kari kanan) sewaktu di Sidang Kemuncak Kuasa Digital HUAWEI 2023.
Penyerahan penghargaan kepada Nik Nazmi (dua kari kanan) sewaktu di Sidang Kemuncak Kuasa Digital HUAWEI 2023.

Tambah beliau, menjadi rendah karbon, dielektrikkan dan pintar adalah satu-satunya cara untuk mencapai keneutralan karbon.

“Selain itu, kemajuan teknologi dalam Kepintaran Buatan (AI), hubungan dan pengkomputeran awan untuk mendigitalkan industri tenaga adalah enjin yang memacu proses berkenaan,” jelasnya.

Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Kuasa Digital HUAWEI Malaysia, Chong Chern Peng berkata, pengeluaran tenaga perlu rendah karbon bagi memacu revolusi tenaga untuk masa depan yang lebih baik dan lebih hijau.

“Visi kami adalah untuk mendigitalkan tenaga tradisional dan ini dilakukan dengan menyatupadukan teknologi digital dan teknologi elektronik kuasa.

“Dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam teknologi digital dan elektronik kuasa, HUAWEI Digital Power telah mencipta penyelesaian tenaga karbon rendah semua senario, meliputi keseluruhan aliran tenaga daripada penjanaan kuasa hijau kepada penggunaan kuasa yang cekap,” katanya.

Jelas beliau, ia termasuk penyelesaian Fusion Solar Smart PV untuk penjanaan kuasa hijau, kemudahan pusat data dan kemudahan tapak kuasa untuk infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi hijau dan FusionCharge untuk mobiliti hijau.

“Kami berharap dapat menggunakan penyelesaian hijau HUAWEI untuk meningkatkan penggunaan kuasa dan membina penyelesaian lebih selamat dengan hasil yang lebih tinggi supaya kuasa hijau dapat diperluaskan kepada seluruh masyarakat,” ujarnya.

Semasa Sidang Kemuncak itu, tujuh Memorandum Persefahaman turut bertukar di antara HUAWEI Malaysia dan pelbagai syarikat yang terlibat dalam teknologi hijau.