Tiada kompromi salah guna kuasa, seleweng dana persatuan sukan

Mohd Hairi (empat dari kanan), menyampaikan Anugerah Geran A kepada Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Mohd Anizam Jamian pada majlis berkenaan.
Mohd Hairi (empat dari kanan), menyampaikan Anugerah Geran A kepada Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Mohd Anizam Jamian pada majlis berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor tidak akan berkompromi jika terdapat laporan salah guna kuasa atau penyelewengan dana dilakukan oleh mana-mana persatuan sukan di negeri berkenaan.

Menurut Exco Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri, Mohd Hairi Mad Shah, tindakan keras akan diambil terhadap mereka yang menyalahguna kuasa atau menyeleweng dana persatuan.

“Saya sedar, peruntukan yang disalurkan (kepada persatuan sukan negeri), kadang kala tidak mencukupi atas faktor kekangan kewangan, tetapi jangan cuba mengambil kesempatan menyalahgunakan dana persatuan khususnya membabitkan kebajikan atlet-atlet.

“Saya juga menyarankan setiap persatuan sukan membuat audit persatuan bagi 2023 dan menghantar kesemua laporan itu kepada pihak Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) bagi tujuan rekod dan simpanan.

“Malah, persatuan sukan yang menerima geran tahunan daripada pihak kementerian juga perlu memaklumkan kepada ahli lembaga atau ahli persatuan masing-masing demi memastikan ketelusan urus tadbir membabitkan dana persatuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Anugerah Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor 2023 pada malam Rabu yang turut dihadiri Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof.

Sementara itu, Mohd Hairi berkata, setiap persatuan sukan di negeri ini perlu menjaga integriti masing-masing dan ia bermula daripada presiden sehinggalah kepada ahli-ahlinya.

Malah katanya, persatuan sukan juga diminta tidak mencampur adukkan politik dan sukan kerana kedua-dua elemen berkenaan tidak sepatutnya berlaku.

“Pejabat saya akan memantau bukan sahaja pencapaian atlet, malah, setiap pengurusan persatuan kerana mereka (persatuan) adalah cerminan kepada atlet-atlet di Johor.

“Malah, saya juga akan berhubung dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selain meminta MSNJ mengenal pasti mana-mana persatuan sukan negeri yang tidak aktif untuk ditutup (sekiranya perlu),” katanya.