Etika pakaian: 'Semua pesakit diterima dalam apa jua keadaan'

x-default
x-default
A
A
A

IPOH - Hospital Kampar telah mengambil tindakan wajar dan akan melakukan penambahbaikan bagi mengelak isu pakaian terutama melibatkan pesakit wanita sepertimana tular di media sosial, berulang.

Pengarah Hospital Kampar, Dr Khairul Azha Azam berkata, dalam kes itu pesakit berkenaan telah pun diberikan rawatan sewajarnya.

Menurutnya, dalam masa sama, teguran dibuat terhadap pegawai terlibat agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

"Pihak hospital tidak pernah mengarahkan atau memberi halangan kepada pesakit yang tidak mematuhi etika berpakaian daripada menerima sebarang rawatan.

"Semua pesakit diterima dalam apa juga keadaan terutama sewaktu kecemasan.

"Dalam hal ini, hebahan telah diberikan kepada semua kakitangan supaya menerima pesakit tanpa mengira isu pakaian atau ada diskriminasi," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Perak pada Rabu.

Beliau berkata, isu yang berlaku sekitar jam 12.04 malam pada 13 Februari lalu itu melibatkan seorang wanita berusia awal 20-an yang hadir ke unit kecemasan hospital dalam keadaan berpakaian seluar pendek.

Katanya, pesakit wanita itu telah diperiksa oleh pegawai bertugas sebelum ditegur kerana berpakaian seperti itu.

"Pegawai berkenaan cuba memberikan baju dan kain pesakit kepada wanita terbabit untuk dipakai sementara, bagaimanapun wanita itu telah meninggalkan hospital.

"Sekitar jam 1 pagi, wanita itu datang kembali ditemani seorang rakan dan telah menerima rawatan daripada doktor bertugas sebelum didiscaj pulang," katanya.