HTJ tubuh jawatankuasa siasat dakwaan cuai

Hospital Tunku Jaafar
Hospital Tunku Jaafar
A
A
A

SEREMBAN - Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) akan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan berlaku kecuaian terhadap seorang kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di hospital terbabit pada 3 Februari lalu berikutan kakinya digilis bas.

Pengarah HTJ, Datuk Dr Zaleha Md Noor menerusi kenyataan media berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan satu pertemuan telah diadakan dengan pengadu bagi mendapatkan gambaran terperinci serta berbincang mengenai aduan berkenaan.

"Satu jawatankuasa penyiasatan yang terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan akan diwujudkan khusus untuk menyiasat isu tersebut dengan teliti.

"Kami memohon mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap pihak yang terlibat sepanjang proses siasatan dijalankan," katanya.

Pada Rabu, tular di Facebook perkongsian seorang wanita yang mendakwa doktor yang merawat anaknya yang cedera akibat kaki digilis bas pada 3 Februari lalu telah melakukan kecuaian.

HTJ akan tubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan berlaku kecuaian terhadap seorang kanak-kanak yang dapatkan rawatan di hospital terbabit pada 3 Februari lalu berikutan kakinya digilis bas. - Foto Facebook
HTJ akan tubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan berlaku kecuaian terhadap seorang kanak-kanak yang dapatkan rawatan di hospital terbabit pada 3 Februari lalu berikutan kakinya digilis bas. - Foto Facebook

Dia mendakwa, anaknya tidak ditahan di wad sebaliknya diminta untuk pulang selain hanya dibekalkan dengan ubat tahan sakit serta antibiotik selepas diberitahu kakinya tidak patah setelah ujian imbasan sinar x (X-ray) dibuat.

Akibatnya, anak wanita terbabit mendapat komplikasi dan pemeriksaan X-ray yang dibuat semula mendapati kaki kirinya patah, pendarahan pada paha kanan, kuman dalam darah dan masalah lain.

Dia turut mendakwa sehingga kini anaknya tidak dapat berdiri dan terpaksa mamakai tiub air kencing.