Insiden gaduh di Batu Pahat: 11 lelaki dirakam keterangan

Tangkap layar video tular kejadian pergaduhan di sebuah inap desa di Batu Pahat.
Tangkap layar video tular kejadian pergaduhan di sebuah inap desa di Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Polis sudah merakam keterangan 11 lelaki tempatan yang terlibat dalam insiden pergaduhan membabitkan seorang penghantar makanan dan beberapa individu lain di sebuah rumah inap desa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, satu sidang media akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada jam 12 tengah hari Khamis berhubung perkembangan siasatan kes tersebut.

"Sebelas yang ditahan terdiri daripada lelaki berusia 17 hingga 62 tahun sudah dirakam keterangan.

"Berhubung punca pergaduhan, perkembangan siasatan dan sebagainya akan diperincikan pada sidang media, esok," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pada Selasa, polis mengesahkan sudah menahan 11 lelaki tempatan yang terlibat dalam pergaduhan di sebuah inap desa di Sri Gading selepas menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.30 petang pada Isnin.

Sebelum itu, video berdurasi satu minit tiga saat memaparkan pergaduhan sekumpulan individu tular di Twiter sejak pagi Selasa.