Gesa peruntukan khas kaji undang-undang Vape - MASAC

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) menggesa kerajaan memberi peruntukan khas dalam Bajet 2023 bagi kajian lanjut ke arah mewujudkan undang-undang khas berhubung penjualan vape yang diluluskan di pasaran.

Presidennya, Ahmad Lutfi Abdul Latiff berkata, kewujudan pelbagai jenama alat itu yang tidak melalui proses kelulusan menyebabkan ada bahan terlarang seperti dadah di dalamnya.

Jelas beliau, ia mengakibatkan ramai penagih mula beralih ke penggunaan vape dengan jenis dadah yang lebih berbahaya.

“Usaha mewujudkan perundangan khas (dengan) hanya menjual vape berdaftar mampu mengawal penggunaan bahan terlarang terutamanya kepada pengguna remaja dan seterusnya meningkatkan hasil pendapatan kerajaan daripada cukai vape.

“Ia sebagai usaha mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih sihat dan selamat daripada kesan negatif penyalahgunaan bahan terlarang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Lutfi turut berharap kerajaan dapat menyalurkan lebih banyak dana kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha meningkatkan lagi pengurusan mengenai perihal penagihan dadah melalui partisipasi lebih besar.

“MASAC turut mempelawa mana-mana NGO yang berminat untuk bersama sebagai ahli gabungan.

“Pengalaman Majlis Tertinggi dan Majlis Eksekutif MASAC yang terdiri daripada pelbagai golongan profesional turut bersedia menjadi rakan strategik kerajaan dalam merangka dasar pengurusan pusat-pusat pemulihan swasta bagi penagih atau keluarga yang mendaftar secara sendiri,” ujarnya.