Tiga beradik dilaporkan hilang di Cheras ditemui di Johor Bahru

A
A

KUALA LUMPUR - Tiga beradik yang dilaporkan hilang dari rumah bapa saudara mereka di Batu 9, Cheras di sini pagi tadi, ditemukan selamat di rumah saudara mereka di Johor Bahru.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, ketiga-tiga beradik berusia tujuh hingga 15 tahun itu, dikatakan keluar dari rumah bapa saudara mereka pada jam 7.30 pagi tadi.

Berikutan itu, beliau berkata lelaki berkenaan menghubungi ibu kandung tiga beradik itu di Banting bagi memaklumkan mengenai kehilangan mereka.

“Namun, ibu kandung mereka memaklumkan tiga anaknya itu tiada di rumahnya. Oleh demikian, pengadu yang merupakan bapa saudara mereka bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Batu 9, Cheras.

“Bagaimanapun, kira-kira 2.30 petang tadi, ibu saudara kanak-kanak itu dihubungi oleh saudaranya memaklumkan tiga beradik itu ada di rumah mereka di Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata susulan penemuan tiga beradik itu, pengadu menarik balik laporan polis yang dibuatnya pagi tadi.

Beliau berkata kejadian itu kali pertama berlaku sejak tiga beradik itu tinggal bersama bapa saudara mereka pada akhir tahun lepas.- Bernama