SPRM panggil beberapa pihak berkaitan isu REE

Shaharom Nizam menunggu masa untuk mengetik kad kerja buat kali terakhir di Pejabat SPRM Kedah pada Selasa.
Shaharom Nizam menunggu masa untuk mengetik kad kerja buat kali terakhir di Pejabat SPRM Kedah pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah memanggil beberapa pihak bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berlaku kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, bagaimanapun pihaknya tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil tindakan awal seperti melakukan sesi temubual dan sebagainya dengan pihak berkaitan,namun hasilnya juga belum dapat dimaklumkan.

"Ketika (menerima) info asal, kita sudah pun mulakan siasatan awal. Kemudian berdasarkan laporan (diperolehi) dalam media, kita pun meneruskan siasatan dan membuat siasatan (kes kecurian REE).

"Daripada siasatan (itu), kita masih menjalankan lagi siasatan dan belum ada satu keputusan ataupun cadangan kepada pihak berkaitan. Sekarang ini, kita masih belum ada satu kesimpulan," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Persaraan Pengarah SPRM Kedah di perkarangan Pejabat SPRM Kedah pada Selasa.

Ketika mengulas desakan beberapa pihak agar SPRM mendedahkan hasil siasatan kecurian REE itu, Shaharom memaklumkan, SPRM tidak dapat berbuat sedemikian disebabkan terikat dengan akta dan undang-undang berkaitan.

"Tidak boleh didedahkan (kepada orang ramai) sehingga didedahkan di mahkamah. Jadi, sebab itu kita senyap. Bukan kita tidak buat tindakan (sebaliknya) ada buat tindakan," ujarnya.

Tambah beliau, berdasarkan peruntukan undang-undang, SPRM cuma boleh memaklumkan kertas siasatan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan juga boleh mendedahkan setelah diputuskan di mahkamah.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan, SPRM Kedah ada menubuhkan satu task force bersama kerajaan negeri untuk mengendalikan isu berbangkit di Kedah.

Menurut Shaharom, task force terbabit memiliki ahli tetap termasuklah SPRM Kedah sendiri dan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITU) Kedah yang akan bekerjasama untuk ambil tindakan sewajarnya.

Katanya, jawatankuasa terbabit akan memanggil pihak-pihak berkenaan untuk membincangkan isu berbangkit di Kedah sekali gus mendapatkan maklum balas daripada agensi berkaitan.

"Task force ini bukan untuk siasatan tetapi untuk mengenal pasti apa isu yang boleh kita beri penambahbaikan,"katanya.

Shahrom menerangkan, inisiatif menubuhkan jawatankuasa itu diharap dapat memastikan sebarang ketirisan yang berlaku dapat dibendung.

Sebelum itu, Shaharom yang berkhidmat lebih 30 tahun bersama SPRM telah bersara pada Selasa dan diraikan dalam satu majlis perpisahan.

Shaharom yang menyertai SPRM sejak 1992 pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Pengarah SPRM Perak, Pengarah SPRM Negeri Sembilan dan Ketua Pegawai Integriti Prasarana Malaysia Bhd.

Beliau berkata, antara kes berprofil tinggi yang pernah disertainya sepanjang berkhidmat termasuklah Ops Water Sabah serta kes penipuan projek kolam ternakan udang di Perak.