Ketua Balai Polis Kuala Bera meninggal dunia selepas main takraw

Allahyarham Sarjan Mejar Mohd Anuar Saian. - Foto PDRM
Allahyarham Sarjan Mejar Mohd Anuar Saian. - Foto PDRM
A
A
A

BERA - Ketua Balai Polis Kuala Bera, Sarjan Mejar Mohd Anuar Saian, 58, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung selepas bermain sepak takraw di Raub pada Selasa.

Allahyarham sebelum itu beraksi mewakili daerah Bera dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Pahang 2023 di Kompleks Rakan Muda Dong di Raub.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir memberitahu, dalam kejadian pada jam 12.55 tengah hari, Mohd Anuar baharu selesai perlawanan berpasukan acara veteran dan berehat di tepi gelanggang.

"Mohd Anuar mengadu kepada rakan sepasukan dia kepenatan sebelum tiba-tiba rebah.

"Ahli pasukan kemudian memaklumkan kepada pihak penganjur dan petugas kesihatan cuba melakukan bantuan pernafasan (CPR) namun mendapati anggota polis tersebut masih tidak sedarkan diri.

"Ketika dibawa ke klinik, Mohd Anuar dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri," kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar Zulkiflee, pihak doktor di Klinik Kesihatan Dong mengesahkan Mohd Anuar meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung pada jam 2.10 petang.

Allahyarham Mohd Anuar yang sudah berkahwin dan memiliki tiga cahaya mata telah bertugas sebagai anggota polis selama 36 tahun.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Keledang di sini.