Klinik sediakan rawatan metadon atasi gian

A
A

Rawatan dadah gantian Metadon, juga dikenali sebagai MAT (Medication Assisted Treatment) dilaksanakan di negara ini hampir 13 tahun lalu. MAT membantu ramai penagih dadah jenis Opioid memulakan hidup baharu dan bebas daripada pengaruh dadah.

Rencana ini adalah yang kedua daripada tiga siri, mengenai klinik yang serius menggunakan metadon untuk membantu mengatasi masalah ketagihan Opioid.

KAJANG - Seawal 8.30 pagi, beberapa orang lelaki kelihatan berdiri di hadapan Poliklinik Khafidz di Taman Perindustrian Ria, Bandar Teknologi Kajang dan dengan penuh sabar menunggu pintu klinik dibuka.

Rutin itu boleh dilihat setiap hari termasuk pada hari Sabtu dan Ahad sejak 15 tahun lalu.

Jika dilihat daripada segi fisikal, kumpulan lelaki itu kelihatan normal tanpa memperlihatkan sebarang gejala penyakit. Ada yang memakai pakaian kemas seperti mahu ke tempat kerja, ada juga yang berpakaian agak santai.

Walaupun nampak normal, mereka sebenarnya adalah kalangan pesakit kronik yang memerlukan rawatan doktor bagi membantu mengatasi ketagihan dadah.

Setiap hari mereka perlu mendapatkan metadon yang diberikan oleh doktor bagi membantu mengatasi rasa gian atau sindrom tarikan kepada dadah opioid seperti heroin.

Doktor Kelas Kedua

Pemilik klinik, Dr Mohd Khafidz Mohd Ishak telah memberi khidmat rawatan kepada penagih dadah sejak lebih 20 tahun lalu.

Meskipun ada yang menggelarnya sebagai doktor kelas kedua kerana hanya merawat golongan penagih, namun tanggapan sedemikian tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus membantu mengembalikan pesakitnya kepada masyarakat.

“Saya pernah dituduh sebagai penagih dadah kerana membantu golongan ini, tetapi saya tekadkan hati sebab siapa yang akan merawat mereka jika saya tidak berbuat demikian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, ketika mula beroperasi pada 2001, isu ketagihan dadah cukup serius di kawasan sekitar klinik tersebut termasuk di Kajang dan Semenyih.

Beliau yang terlibat dalam kajian awal metadon bersama Pusat Penyelidikan Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS) pada 2001, kemudiannya memperkenalkan rawatan metadon di kliniknya pada 2003, dua tahun sebelum Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) menggunakannya sebagai rawatan dadah gantian di klinik-klinik serta fasiliti kerajaan lain seperti di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan institusi penjara.

Menurut beliau, Australia telah 30 tahun lebih awal melaksanakan rawatan metadon kepada pesakit ketagihan dadah sehingga berjaya menurunkan jumlah pesakit HIV secara mendadak dan mengurangkan bilangan penagih.

“Ini juga tujuan awal kenapa rawatan dadah gantian metadon dilaksanakan di negara kita, iaitu untuk mengurangkan kes baharu HIV yang diperolehi melalui perkongsian jarum dalam kalangan penagih.

“Kini HIV dalam kalangan penagih dadah telah berkurangan tetapi menjadi kebimbangan berlaku penularan Hepatitis C dalam kalangan penagih kerana 85 peratus daripada mereka yang menggunakan jarum mengidap Hepatitis C,” kata Dr Mohd Khafidz sambil menambah bahawa Hepatitis C yang sehingga kini belum ditemui penawarnya itu, boleh menyebabkan kerosakan hati yang boleh membawa maut.

Rawat Kerosakan Otak

Metadon digunakan untuk merawat kerosakan otak akibat pengambilan dadah, namun ia amat berbahaya sekiranya diambil oleh orang normal yang tidak menagih dadah opioid.

Sekiranya diambil hanya dua mililiter (ml) sekalipun, seseorang itu boleh pitam dan jika terambil dalam dos yang lebih tinggi boleh membawa maut dalam masa setengah jam, katanya,

Namun, pesakit yang mengalami ketagihan dadah amat memerlukan metadon setiap hari bagi mengawal sindrom tarikan (gian) untuk tempoh 36 jam.

“Apabila sindrom tarikan tidak berlaku dalam tempoh itu, pesakit boleh menjalani kehidupan seperti orang normal dan boleh bekerja mencari rezeki, menjaga keluarga malah menabung duit, kesemua itu tidak boleh dilakukan oleh kalangan yang menagih dadah,” katanya.

Pesakit ketagihan dadah yang dikategorikan sebagai pesakit otak kronik yang berulang-ulang memerlukan ubat dalam tempoh yang panjang. Ia dikategorikan kerosakan otak yang kekal seumur hidup.

Disebabkan itu mereka memerlukan metadon secara berterusan sekurang-kurangnya selama lima tahun sehinggalah pesakit itu bersedia untuk berhenti.

Jelas Dr Mohd Khafidz, untuk berhenti daripada ketagihan pesakit perlu mempunyai kekuatan dari segi psikososial dan spiritual bagi membuang rindunya kepada dadah.

“Kita sudah menggunakan rawatan metadon selama 15 tahun dan ribuan pesakit sudah dibantu. Jika tidak dapat pulihkan 100 peratus, dapat pulihkan 60 peratus dalam kalangan mereka juga sudah cukup mengembirakan,” katanya.

Rawat Ketagihan Dalam Komuniti

Ramai penagih yang ingin berhenti mengambil dadah tetapi bila kembali kepada masyarakat mereka dipandang sinis terutama yang menghidapi HIV.

Dalam konsep rawatan metadon, penagih tidak dianggap penjenayah sebaliknya dipandang sebagai pesakit luar seperti orang ramai yang datang ke klinik-klinik untuk mendapatkan rawatan.

“Penagih yang dikesan adalah kira-kira 300,000 orang manakala yang tidak dapat dikesan adalah tiga kali ganda, dan mungkin jumlahnya di Malaysia mencapai 900,000 orang.

“Jika masukkan mereka di dalam penjara tentu tidak muat, jadi rawatan terbaik adalah menerima mereka di dalam masyarakat untuk berfungsi kepada masyarakat,” katanya.

Beroperasi tujuh hari seminggu dari pukul 8.30 pagi hingga 9 malam, klinik itu menerima purata kira-kira 40 pesakit untuk mengambil metadon setiap hari.

Kebanyakan pesakit pergi ke Poliklinik Khafidz pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja dan jika tidak sempat mereka akan pergi ke klinik pada waktu tenghari atau selepas pulang dari kerja.

“Klinik ini hanya tutup tiga hari iaitu pada Hari Raya Aidilfitri. Hari-hari lain kami beroperasi seperti biasa kerana tidak mahu pesakit terputus bekalan metadon,” kata Dr Mohd Khafidz.

Pesakit yang pergi ke klinik secara sukarela bagi mendapatkan metadon hanya perlu membayar antara RM10 hingga RM15 bergantung kepada dos yang diambil.

Selain itu terdapat 66 pesakit yang dirujuk KKM ke klinik itu yang menerima metadon secara percuma melalui bekalan oleh kerajaan sebanyak 400 botol setiap bulan.

Pesakit hanya perlu membayar kos operasi dan kos pengurusan pada kadar antara RM5 hingga RM7 sahaja setiap kali mengambil metadon.

Dos Yang Tepat

Pesakit yang mengambil metadon hendaklah menjalani ujian air kencing sekurang-kurangnya sekali sebulan bagi memastikan mereka tidak kembali mengambil dadah.

Menurut Dr Mohd Khafidz, purata pesakit yang positif ujian air kencing di kliniknya adalah sekitar 30 hingga 40 peratus.

Antara faktor yang menyebabkan mereka kembali mengambil dadah ketika dalam rawatan metadon adalah dos yang diambil tidak mencukupi dan tarikan dalam kalangan rakan penagih yang cukup kuat.

Dos yang diberikan bagi mereka yang baru mendapatkan rawatan metadon adalah minimum bermula 7ml pada hari pertama selama tiga hingga lima hari dan dos akan ditambah sebanyak sebanyak 1ml setiap minggu mengikut keperluan pesakit.

Selain itu pesakit yang bekerja dibenarkan membawa pulang metadon untuk bekalan tiga hari berikutnya mengikut dos yang ditetapkan.

“Ada pesakit yang mendapat dos 16ml sehari, ada juga yang mendapat 20ml sehari bergantung kepada tahap ketagihan dan keperluan badan pesakit. Metadon bukan tentang dos yang tinggi atau dos yang rendah tetapi dos yang tepat mengikut keperluan.

“Jika dos berlebihan akan menyebabkan pesakit menjadi pening, sakit kepala, koma dan boleh mati dan jika tidak mencukupi akan menyebabkan rasa gian atau sindrom tarikan terhadap dadah,” katanya amat penting doktor yang berpengalaman dalam rawatan ketagihan untuk memberikan dos yang tepat kepada pesakit.- Bernama