Yayasan SP Setia dekati warga emas

Lawatan diadakan sempena kempen Ikhlas Setia dan bagi berkongsi kegembiraan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
Lawatan diadakan sempena kempen Ikhlas Setia dan bagi berkongsi kegembiraan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
A
A
A

SEMENYIH - Yayasan SP Setia menjadikan Tahun Baharu Cina lebih bermakna buat warga emas di sebuah rumah jagaan warga emas di sini dengan lawatan khas daripada kakitangan yayasan dan ahli-ahli Team Setia.

Pemegang Amanah Yayasan SP Setia, Dr Azura Mansor berkata, lawatan khas itu diadakan sempena kempen Ikhlas Setia dan bagi berkongsi kegembiraan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, yayasan menyampaikan beg hadiah kepada 36 warga emas Rumah Orang Tua Joy Garden mengandungi peralatan mandian dan keperluan penting seperti pijama, stokin, tuala mandi, tuala muka, syampu, gel mandian, gulungan tandas, minuman oat segera ditaja OatLife.

“Sempena musim perayaan, kami membawa beberapa cenderahati disediakan Yayasan SP Setia serta ahli-ahli Team Setia termasuk makanan dan peralatan mandian yang diharap dapat membantu warga emas,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah SP Setia Berhad, Datuk Halipah Esa.

Dalam masa sama, Azura yang juga pakar bedah ortopedik turut berkongsi beberapa nasihat mengenai senaman regangan untuk warga emas bagi mengekalkan dan menguatkan kesihatan tulang.

Menurutnya, ceramah fisioterapi khas untuk warga emas turut dikendalikan ahli fisioterapi, Eman Yazid serta demonstrasi senaman ringan membantu mengekalkan kesihatan sendi.

Azura menambah, kempen itu juga dianjurkan untuk memberikan bantuan dalam memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik, kurang upaya, miskin atau sakit kritikal.

"Kami berharap dapat membantu lebih ramai komuniti yang memerlukan pada masa akan datang melalui aktiviti di lapangan kami iaitu menerusi kempen Ikhlas Setia.

"Melalui program ini, Yayasan SP Setia turut menyokong masyarakat kurang upaya dengan membeli stokin dibuat oleh penghuni Lovely Disabled HOME untuk dimasukkan ke dalam beg hadiah," katanya.