Raja Permaisuri Camilla positif Covid-19

Raja Permaisuri Camilla
Raja Permaisuri Camilla
A
A
A

LONDON - Raja Permaisuri Britain, Camilla disahkan positif Covid-19 selepas mengalami simptom selesema, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa), memetik Istana Buckingham.

Baginda membatalkan semua acara pada minggu ini termasuk meraikan status Milton Keynes sebagai sebuah bandar raya.

Raja permaisuri itu dikhabarkan dalam keadaan baik dan sedang beristirehat.

Istana Buckingham dalam satu kenyataan memaklumkan selepas mengalami simptom selesema, baginda permaisuri disahkan positif virus Covid-19.

"Dukacita diumumkan, baginda telah membatalkan semua acara pada minggu ini dan memohon maaf."

Baginda sepatutnya melawat Elmhurst Ballet School di Edgbaston, Birmingham pada Selasa bagi meraikan ulang tahun ke-100 dan menghadiri majlis di perpustakaan di Telford.

Raja Charles III berkenan meneruskan acara lawatan baginda ke Milton Keynes yang menjadi sebahagian daripada perayaan jubli platinum mendiang Ratu Elizabeth. - Bernama