Rupanya kakak sendiri kemalangan

Muhammad Rezza menunjukkan gambar kakaknya, Noor Izwani.
Muhammad Rezza menunjukkan gambar kakaknya, Noor Izwani.
A
A
A

MELAKA - Gerak hati seorang adik untuk berhenti di lokasi kemalangan rupanya petunjuk melihat kakaknya pergi buat selamanya.

Muhammad Rezza Afiqie Ali Mohd Nor, 27, yang bekerja sendiri tidak menyangka tubuh yang ditutupi kain putih itu adalah mayat kakaknya, Noor Izwani, 35, yang maut bersama rakan sekerjanya, Nuraisah Djaapar, 36, selepas terbabit dalam kemalangan tiga buah kenderaan.

Kemalangan itu berlaku di Jalan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Kandang, dekat sini, kira-kira jam 7.40 pagi Isnin.

Menurut Muhammad Rezza, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Batu Berendam.

Katanya, dia keluar rumah di Jalan Pasir Gembor 2 Kampung Sempang, Merlimau sekitar jam 8.05 pagi dan kebetulan melalui kawasan kemalangan itu.

"Saya tergerak untuk berhenti, mulanya saya tak perasan kereta kakak sebab keadaan kereta yang remuk teruk.

"Tapi bila kain putih menutupi salah satu mayat diselak oleh seorang lelaki rupanya itu mayat kakak," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Jelasnya, kakaknya yang merupakan ibu tunggal adalah anak ketiga daripada lapan beradik.

Menurutnya, Allahyarham meninggalkan dua anak masih kecil berusia tujuh dan enam tahun.

Sebahagian waris kedua-dua mangsa menunggu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.
Sebahagian waris kedua-dua mangsa menunggu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

"Selepas bercerai kakak yang sebelum ini menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan tinggal bersama ayah di kampung.

"Kakak memang seorang yang penyayang dan bertanggungjawab kerana itu sanggup bekerja sebagai operator kilang di Batu Berendam biarpun jauh dari rumah demi nak membesarkan anak-anak," katanya yang memaklumkan jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sempang, Merlimau.

Sementara itu, bapa Nuraisah, Djaapar Umareng, 62, berkata, sehingga saat ini dia masih terbayang-bayang wajah anak sulung daripada empat beradik itu menikmati sup ketam pada petang semalam.

Ujarnya, arwah yang belum berkahwin sangat menggemari sup ketam lebih-lebih lagi yang dimasak sendiri olehnya.

"Saya tengok dia begitu berselera makan sup ketam dan ketam masak sambal, namun ajal maut di tangan ALLAH dan kami sekeluarga reda," katanya sambil memberitahu jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Serkam Darat.