Ringgit dibuka rendah hari ini

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini, meneruskan aliran menurun yang dicatatkan Jumaat lepas apabila kebimbangan berterusan terhadap kenaikan kadar faedah selanjutnya oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menjejaskan sentimen, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit menyusut nilai kepada 4.3350/3395 berbanding dolar AS daripada penutup Jumaat pada 4.3320/3350.

Menurut Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, dengan langkah Rizab Persekutuan yang menjurus kepada menaikkan kadar faedah, persekitaran hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi tidak begitu menyokong ringgit kerana ia menjadikan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) kurang menarik.

"Selain itu, pasaran Asia sangat defensif berikutan jualan hartanah yang lembap di China, manakala lebih ramai pelabur tempatan percaya pemulihan penggunaan isi rumah tahun ini diunjur lebih perlahan daripada jangkaan,” kata Innes.

Sementara itu, mengenai pengeluaran laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS untuk bulan Januari keesokan hari, beliau berkata bacaan IHP yang kukuh boleh meningkatkan permintaan terhadap dolar AS.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2579/2618 daripada penutup Jumaat pada 3.2635/2663 dan mengukuh berbanding euro menjadi 4.6267/6315 daripada 4.6391/6424 sebelumnya.

Nilai ringgit turut mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2916/2952 daripada 3.3089/3114 pada Jumaat lepas, dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.2232/2287 daripada 5.2404/2440 sebelumnya. - Bernama