Bekalan air bersih dipulihkan berperingkat - MB

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Bekalan air bersih ke kawasan insiden pencemaran bau seakan diesel di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dipulihkan secara berperingkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencemaran berjaya ditangani dalam tempoh empat jam dengan penyaluran air mentah daripada HORAS 600 dan kolam alternatif KL Larut sebanyak 836 JLH serta meletakkan tiga 'oil boom' dan juga tiga kotak 'oil pad' di kawasan pencemaran.

Menurutnya, sepanjang LRA Rantau Panjang dihenti tugas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggerakkan lori air ke kawasan kritikal seperti hospital, pusat dialisis, masjid dan rumah ibadat.

“LRA Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 1.30 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 beroperasi jam 2.15 pagi tadi (pada Ahad).

“Ia susulan pengesanan pencemaran diesel di muka sauk keempat-empat LRA tersebut pada jam 9.45 malam semalam (pada Sabtu) yang menyebabkan gangguan tidak berjadual,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Ahad.

Dalam pada itu, Amirudin turut menyarankan pengguna untuk merujuk aplikasi dan media sosial Air Selangor untuk mendapatkan maklumat terkini.