Negeri Sembilan larang pindah babi hidup antara negeri

 Bakri Sawir
Bakri Sawir
A
A
A

JELEBU - Negeri Sembilan menguatkuasakan larangan pemindahan ternakan babi hidup antara negeri bagi tujuan mengekang penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, ia selaras dengan arahan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

"Biarpun ada pihak yang mahu larangan itu ditarik balik, ia belum boleh dilaksanakan di Negeri Sembilan ketika ini. Kita bukan mahu menyusahkan pihak yang berkenaan tetapi bertujuan mengurangkan risiko jangkitan virus ASF.

"Larangan itu, bagaimanapun hanya membabitkan babi hidup namun babi yang sudah disembelih tidak ada masalah untuk dibawa masuk ke negeri ini," katanya pada Ahad.

Bakri berkata, bagi tujuan penyembelihan, penternak boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan ( JPVNS) bagi mendapatkan permit untuk tujuan penyembelihan sahaja.

" Negeri Sembilan tidak ada pusat penyembelihan babi berlesen, jadi penternak perlu membawa babi untuk disembelih di pusat penyembelihan di negeri lain," katanya.

Dalam pada itu, Bakri menjelaskan tiada isu kekurangan bekalan daging babi di negeri ini berikutan hanya larangan pemindahan babi hidup sahaja yang tidak dibenarkan.

"Keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan wabak berkenaan dikawal seterusnya dihapuskan dan ia memerlukan kerjasama daripada penternak untuk mematuhi semua saranan yang sudah dikeluarkan bagi mengekang wabak ini," jelasnya.

Sebelum ini, MAFS melalui DVS dalam kenyataannya memberitahu larangan berkenaan selaras dengan Protokol Veterinar Malaysia (PVM) berhubung penyakit ASF bahawa kawalan pergerakan atau pemindahan dapat mengurangkan risiko kemasukan virus berkenaan.

Jelas kenyataan itu juga, DVS negeri boleh mempertimbangkan permohonan daripada negeri yang terjangkit dengan wabak ASF untuk memindahkan ternakan babi hidup ke rumah sembelihan di negeri lain, namun haruslah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh DVS Negeri tanpa kompromi.