KKM: Kekal sikap berhati-hati elak dijangkiti Covid-19

Lukanisman (tengah) bersama Nur Fuad (dua kiri) ketika melawat reurai di Dataran Shah Alam pada Ahad.
Lukanisman (tengah) bersama Nur Fuad (dua kiri) ketika melawat reurai di Dataran Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan masyarakat supaya kekal berhati-hati dengan mengamalkan cara hidup sihat bagi mengelakkan dijangkiti wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, antaranya kawalan kendiri masih perlu dilakukan bagi memastikan kesihatan diri sendiri serta masyarakat sekeliling sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Kita masih lagi (mahu) memastikan rakyat untuk mengambil sikap berhati-hati dengan menjadikan amalan cara hidup sihat sebagai sebahagian cara hidup mereka.

"Lebih-lebih lagi amalan penggunaan pelitup muka, pemeriksaan kendiri dan segera mendapatkan rawatan di mana-mana premis KKM di seluruh negara jika tidak sihat.

"Kita juga menggalakkan pengambilan suntikan vaksin booster yang boleh dibuat secara walk in di premis KKM dan semakan boleh dibuat di portal serta My Sejahtera," katanya.

Lukanisman (empat kanan) turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang sempena program Fun Run IMR
Lukanisman (empat kanan) turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang sempena program Fun Run IMR

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program 'Fun Run Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sempena sambutan ke 123 tahun IMR di Dataran Shah Alam di sini pada Ahad.

Hadir sama, Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nur Fuad Abdul Hamid.

Pada Jumaat, sebanyak 255 kes baharu Covid-19 dilaporkan di dalam negara dengan tiga daripadanya merupakan kes import menjadikan kes keseluruhan 5,039,067.

Berdasarkan data KKM di portal KKMNow, empat kes kematian baharu akibat Covid-19 dicatatkan, namun tiada kematian melibatkan di luar fasiliti hospital atau brought-in-dead (BID).

Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di Malaysia adalah 36,950 kes manakala kes sembuh pula adalah 306 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh wabak tersebut dalam negara kepada 4,992,386 kes.