Gempa bumi Turkiye: Anggota Smart lega selamatkan lima mangsa

Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menzahirkan rasa bersyukur dan lega kerana berjaya menyelamatkan lima sekeluarga hari ini setelah mereka terperangkap dalam runtuhan bangunan kediaman mereka sejak enam hari lepas akibat gemba bumi dahsyat yang melanda kawasan ini. - Foto Bernama
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menzahirkan rasa bersyukur dan lega kerana berjaya menyelamatkan lima sekeluarga hari ini setelah mereka terperangkap dalam runtuhan bangunan kediaman mereka sejak enam hari lepas akibat gemba bumi dahsyat yang melanda kawasan ini. - Foto Bernama
A
A
A

GAZIANTEP (Turkiye) - [DIKEMAS KINI] Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menzahirkan rasa bersyukur dan lega kerana berjaya menyelamatkan lima sekeluarga hari ini setelah mereka terperangkap dalam runtuhan bangunan kediaman mereka sejak enam hari lepas akibat gemba bumi dahsyat yang melanda kawasan ini.

Pegawai operasi mencari dan menyelamat (SAR) MAS-01 SMART, Inspektor Muhamad Zul Khairi Idris berkata, takbir ALLAHU AKBAR dilaungkan ketika saat mangsa pertama, remaja lelaki dibawa keluar pada 1.20 tengah hari (6 petang waktu Malaysia) perasaan sebak dan sedih dirasai diri beliau dan anggota pasukannya.

Menahan diri daripada terbawa-bawa perasaan itu, Muhamad Zul Khairi dan anggota kumpulannya tahu mereka memikul tanggungjawab dan harapan yang besar daripada rakyat tempatan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap.

Satu demi satu mangsa berjaya dikeluarkan selepas itu, si kakak, si ibu, kakak sulung dan si bapa berjaya dibawa keluar dan pada jam 2.20 petang (7.20 malam waktu Malaysia) dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan tempatan.

Muhamad Zul Khairi berkata, pasukan beliau seramai 24 anggota dan seekor anjing pengesan (Frankie) bergerak ke kawasan runtuhan berkenaan yang merupakan kawasan baharu hasil maklumat daripada pasukan peninjau yang terletak 1.3 kilometer dari kem pasukan penyelamat negara di Stadium Nurdagi pada pukul 11 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).

"Pada pukul 1 tengah hari (6 petang waktu tempatan) pasukan tempatan memberitahu terdapat bunyi di bawah runtuhan, kami kemudian menggunakan peralatan ‘Life Detector Six Sensor System and Victim Simulator (Delsar)’ berjaya mengesan mangsa yang terperangkap sedalam dua meter di bawah runtuhan.

Pada mula kami jangka terdapat tiga mangsa yang terperangkap, tetapi melalui komunikasi menerusi peralatan Delsar mangsa memberitahu terdapat lima mangsa terperangkap bersama-sama di dalam ruangan di bawah runtuhan,” katanya kepada Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini pada Sabtu.

Cuaca sejuk dan berhabuk di Nurdagi yang mencecah satu darjah Celsius pada ketika itu seakan tidak terasa semasa beliau dan anggota pasukannya menggali dan mengalihkan halangan bagi membuka ruang yang selamat untuk mengeluarkan mangsa

Muhamad Zul Khairi berkata, pasukannya menggunakan alat pemotong bagi memotong besi-besi konkrit yang berselirat dan alat penampung beban sementara untuk membuka ruang seperti terowong bagi membolehkan pasukan penyelamat membawa keluar mangsa.

Lima mangsa berkenaan merupakan kumpulan mangsa yang pertama yang ditemukan selamat oleh pasukan SAR negara sejak ditempatkan di sini.

Secara keseluruhan ketika berita ini dibuat pasukan penyelamat negara telah membawa keluar 25 mayat dan lima mangsa hidup.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut ribuan nyawa.

Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Angka kematian akibat gempa bumi di selatan Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang manakala jumlah mangsa yang cedera ialah 40,910 setakat ini.

Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar. - Bernama