Apa punca kematian kanser meningkat di Malaysia?

A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia adalah antara negara sedang membangun yang pesat berkembang dengan pelbagai kemudahan kesihatan moden termasuk mempunyai pusat kanser yang canggih.

Bagaimanapun apa yang menyedihkan ialah kadar kematian akibat kanser dianggap masih tinggi.

Kadar kematian akibat kanser iaitu 61 peratus mencetuskan anggapan bahawa rawatan kanser di negara ini tidak mendatangkan hasil yang baik, sebagaimana yang berlaku di Indonesia, Myanmar dan Vietnam.

Turut membimbangkan ialah jumlah kekerapan kes kanser berlaku, tanpa wujud punca-punca lain iaitu 1 dalam 10 lelaki dan 1 dalam 9 perempuan berisiko mendapat penyakit kanser.

Pakar Onkologi Beacon Consultant’s Clinic, Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Wahid mendedahkan statistik itu pada forum bertajuk “Equitable Public Access to Cancer Care: A Patient’s Perspective” yang diadakan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Kurang Peluang Mendapat Rawatan

Menurut Mohamed Ibrahim yang juga Pengarah Perubatan Beacon International Specialist Centre, kira-kira satu pertiga pesakit kanser di negara ini yang datang untuk mendapatkan rawatan kali pertama sudah berada pada peringkat yang teruk iaitu tahap tiga atau empat.

Meskipun tidak menolak keadaan itu mungkin kerana kurang kesedaran atau pendidikan, beliau turut menekankan juga kurang akses kepada rawatan kanser di hospital kerajaan di seluruh negara.

Beliau berkata banyak negeri di Malaysia seperti Kedah dan Perlis, dan semua negeri di negeri pantai timur termasuk negeri besar seperti Pahang, tidak mempunyai pusat kanser awam dan pakar.

Di seluruh Sabah dan Sarawak terdapat hanya dua buah hospital kerajaan yang menawarkan rawatan kanser.

“Pesakit di Kuantan, Kuala Terengganu dan tempat-tempat seperti Mersing atau Batu Pahat, mereka tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan rawatan kanser yang berhampiran. Mereka perlu melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan dan diagnosis kanser, “ katanya sambil menambah kekurangan pakar kanser di hospital boleh menyebabkan pesakit kanser tidak mendapat pemeriksaan serta rawatan yang mencukupi.

Kekurangan Ubat Kanser Terkini

Satu lagi isu yang beliau bangkitkan ialah akses yang perlahan kepada ubat kanser yang terkini.

Menurut beliau ubat berkenaan yang diluluskan Amerika Syarikat dan negara Eropah biasanya akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk diluluskan kerajaan Malaysia.

Selepas diberi kelulusan, hospital kerajaan akan hanya menerima ubat berkenaan dalam tempoh tiga hingga 10 tahun.

Ini termasuk ubat yang yang boleh menghasilkan kesan yang penting yang dapat meningkatkan kadar untuk hidup juga ubat untuk menggantikan kemoterapi, yang dapat menyelamatkan pesakit daripada kesan sampingan kemoterapi yang teruk.

Kelewatan itu, kata Mohamed Ibrahim menyebabkan kepincangan antara perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

“Mereka yang mampu untuk membayar akan dapat menikmati manfaat kemajuan terapi kanser sementara yang mengalami kesulitan kewangan dan memerlukan perkhidmatan awam, tidak dapat merasa manfaat itu.

“Jadi kita mempunyai sistem dua peringkat iaitu yang kaya, yang mampu akan mendapa terapi kanser terbaik sementara yang miskin, ‘maaflah’ anda hanya menunggu maut, “ katanya.

Peruntukan Dana

Masalahnya mungkin birokrasi yang perlu ditangani tetapi ada isu yang lebih mendesak iaitu dana yang diperuntukkan bagi kesihatan awam.

Menurut Ketua Eksekutif Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen, Azrul Mohd Khalib, Malaysia sebenarnya kurang menyediakan peruntukan untuk penjagaan kesihatan awam.

Berdasarkan piawaian yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia sebagai negara berpendapatan pertengahan tinggi, ia seharusnya membelanjakan sekitar 7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada masa ini Malaysia hanya membelanjakan kira-kira 4.3 peratus daripada KDNK untuk penjagaan kesihatan. Daripada 4.3 peratus itu, 2.3 peratus diperuntukkan bagi penjagaan kesihatan awam.

“Jelas kita tidak berbelanja sebanyak yang kita perlu untuk penjagaan kesihatan awam. Bukannya kerana kita tidak mampu, kita hanya kurang menyediakan peruntukan, “ katanya.

Beliau juga berpendapat pembahagian serta pengurusan dana itu juga perlu diperbaiki.

Merujuk kepada perangkaan dari 2014, Azrul yang mendakwa ia tidak banyak menunjukkan perubahan, penyakit yang tidak mudah berjangkit (NCD) adalah sebanyak 73 hingga 74 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia. Kematian akibat kanser berada di kedudukan ketiga dalam senarai berkenaan.

Bagaimanapun, akibat kurangnya pelaburan dalam langkah pencegahan, kes NCD termasuk kanser semakin meningkat setiap tahun, seiring dengann kos rawatan.

“Kita sebenarnya menyediakan ‘khidmat penyakit” di Malaysia, bukan kesejahteraan atau khidmat kesedaran kesihatan.

“Kami cuba untuk menyembuhkan semua dan cuba memastikan kita dapat menguruskannya, tetapi daripada segi pencegahan, tidak banyak yang kita lakukan, “ katanya.

Perbetulkan Sikap

Bagaimanapun bagi presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA), Ranjit Kaur, sikap adalah isu utama yang perlu ditangani dalam isu kes kanser yang sudah mencapai tahap teruk.

Bukan sahaja sikap pesakit tetapi sikap golongan profesional kesihatan serta masyarakat juga.

Menurut beliau, BCWA bercakap dengan ramai wanita daripada pelbagai komuniti berhubung dengan penyakit metastatik dan mendapati sebahagian besarnya percaya penyakit itu akan berakhir dengan kematian.

“Sikap wanita yang mendapat penyakit ini, mereka menjadi cemas kerana percaya tidak perlu berjumpa doktor kerana akhirnya akan mati juga.

“Salah tanggapan ini sebahagian daripada penyumbang kepada kadar hidup yang rendah di kalangan pesakit kanser, “ katanya.

Terdapat juga sikap segelintir masyarakat yang menuduh pesakit sengaja lewat mendapatkan rawatan dan dengan demikian memang sepatutnya mereka berada dalam keadaan demikian. Keadaan ini amat menyiksa emosi pesakit.

Sikap golongan profesional penjagaan kesihatan dalam mengendalikan pesakit kanser metastatik juga perlu diberi perhatian. Ranjit menegaskan mereka perlu dididik dari semasa ke semasa dalam soal sikap dan kelakuan positif.

“Ada beberapa orang wanita (dalam kumpulan kami) yang pergi ke pusat perkhidmatan penjagaan kesihatan awam dan mendapati kakitangannya kurang menunjukkan perasaan belas kasihan.

“Ada perbezaan dalam memberitahu pesakit tidak banyak yang boleh kami lakukan, balik sahajalah dan berdoa dengan kita bersama-sama melaluinya dan tengok macam mana kami boleh bantu, “ kata Ranjit sambil menambah ramai pesakit metastatik juga tidak memperolehi peluang untuk memilih rawatan.

“Kita ada apa yang dipanggil hak kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, jadi bukankan penjagaan kanser juga satu bentuk khidmat penjagaan kesihatan dan pesakit kanser berhak mendapatkannya, “ soal beliau. (Ikuti siri kedua esok). - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia